#Malaysiatabah2021, derma RM50 dan dapatkan kalendar desktop untuk menyokong barisan hadapan dan rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR – Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd (SHARP) telah melancarkan inisiatif Malaysia Tabah 2021 hari ini bagi menyokong pasukan barisan hadapan dan rakyat Malaysia yang turut terkesan dengan Covid-19.

Melalui pemberian kalendar 2021 dan pengumpulan dana RM50 daripada setiap sumbangan yang telah diterima daripada orang ramai dan rakan niaga SHARP berharap ia dapat membantu pihak yang berkenaan.

Kalendar desktop tersebut akan memaparkan gambar yang telah diambil oleh The Star Publication dan The Malay Mall semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

“Sepanjang tempoh PKP, SHARP telah menyokong kempen stay-at-home dengan memastikan permintaan pelanggan dalam khidmat pembaikan dan penggantian perkakas dipenuhi dengan segera, ” kata Pengarah Urusan Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd, Ting Yang Chung dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Yang Chung, dengan komitmen berterusan  pihaknya telah memutuskan untuk membantu dalam mengumpulkan dana melalui kempen #MalaysiaTabah2021.

“Diucapkan terima kasih kepada rakan media yang terlibat, The Star Publication dan The Malay Mail atas kerjasama mereka,” katanya.

Malah, SHARP juga menurutnya merancang untuk menghasilkan 20,000 keping kalendar desktop dan 100 peratus daripada hasil sumbangan orang ramai akan terus disalurkan ke Yayasan Tzu Chi bagi menyokong rakyat Malaysia.

Sehingga kini, Yayasan Tzu Chi telah mengedarkan pakaian PPE ke 2,372 hospital, klinik, balai polis dan organisasi lain yang memerlukan di seluruh negara.

Di samping itu, di bawah inisiatif Kita1Keluarga NGO, pihaknya telah mengeluarkan bantuan kepada 2, 178 keluarga (mewakili lebih dari 9.100 penerima) dengan masing-masing telah menerima antara RM300 hingga RM800 sebulan selama tiga bulan berturut-turut antara bulan September dan November pada tahun ini.

Kepada sesiapa yang ingin turut menyumbang boleh membuat sumbangan melalui SHARP’s Cocoro Life, syarikat AI-powered e-Service dan CRM atau boleh melayari laman web https://www.malaysiatabah2021.cocorolife.my untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette