Kerajaan menerusi pihak berkuasa sentiasa menekankan orang ramai agar memakai pelitup muka ketika berada di luar dan tidak memakainya adalah satu kesalahan utama.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan 196 individu di seluruh negara semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesemuanya telah dikompaun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kesalahan itu termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan seramai 88 individu, tidak memakai pelitup muka (86), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (lapan) dan lain-lain seramai 14 orang.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia telah membuat 40,928 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,960 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,207 anggota telah membuat pemantauan di 3,468 pasar raya, 4,770 restoran serta 1,529 penjaja, 1,298 kilang, 1,298 bank dan 501 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 967 terminal pengangkutan darat, 226 terminal pengangkutan air serta 80 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri turut memberitahu, sejak 20 April sehingga semalam, sebanyak 13,977 jumlah pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 7,996 tapak binaan di seluruh negara.

“Semalam, anggota penguat kuasa telah membuat pemeriksaan di 24 tapak binaan di seluruh Malaysia.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 22 tapak binaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala dua tapak binaan tidak beroperasi,” katanya. – MalaysiaGazette