Sindiket jenayah pemalsuan sijil cuti sakit klinik swasta didalangi lima suspek tempatan termasuk tiga perempuan berjaya ditahan polis.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan yang menawarkan habuan RM5,000 untuk menutup mulut seorang doktor yang mengesan nama kliniknya digunakan untuk kegiatan memalsukan sijil cuti sakit memakan diri.

Laporan polis yang dibuat doktor itu membawa kepada penahanan lima suspek warga tempatan termasuk tiga orang perempuan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pada 24 November lalu, doktor yang sedang bertugas di kliniknya di Kundang, Gombak telah menerima panggilan telefon dari sebuah syarikat swasta di Puchong untuk mengesahkan satu sijil cuti sakit melibatkan pekerjanya yang dikeluarkan oleh klinik beliau.

Katanya, doktor berkenaan yang membuat semakan mendapati tiada rekod ditemui dalam data komputer ataupun rekod fail klinik.

“Seterusnya doktor itu menerima salinan sijil cuti sakit tersebut dari syarikat swasta itu untuk disahkan sebelum doktor berkenaan mengesahkan bahawa sijil cuti sakit yang ditunjukkan oleh pihak syarikat tersebut adalah palsu.

“Doktor itu kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera pada sijil cuti sakit (palsu) tersebut sebelum panggilannya dijawab oleh seorang lelaki tempatan dan meminta untuk berjumpa bagi mendapatkan maklumat yang sebenar.

“Namun lelaki itu telah menawarkan RM5,000 kepada doktor klinik swasta itu supaya tidak membesar-besarkan isu tersebut sebelum pengadu (doktor) menolak tawaran tersebut dan seterusnya membuat laporan polis pada 12 Disember lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat, menurut Arifai, pada tarikh laporan polis itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Gombak, telah menahan lima individu berumur antara 23 hingga 55 tahun di sekitar Gombak dan Sungai Buloh.

Tambah beliau, berikutan penahanan suspek-suspek itu polis merampas dua unit komputer dua unit mesin cetak dan sebuah pengimbas berserta dengan sijil cuti sakit palsu (mastercopy) yang digunakan untuk mengimbas dan mencetak sijil cuti sakit.

katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman selama enam hari sehingga esok untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette