Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menafikan dakwaan beliau bertanggungjawab untuk memberhentikan perkhidmatan feri Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Seremban dan Ketua Ahli Parlimen DAP itu juga memperjelaskan keputusan yang dipersetujuinya pada tahun 2019 semasa menerajui Kementerian Pengangkutan.

“Untuk rekod, keputusan yang dipersetujui oleh saya untuk hala tuju pembangunan perkhidmatan feri Pulau Pinang ialah menaik taraf perkhidmatan tersebut dengan memperkenalkan catamaran (bot penumpang) dan mengubahsuai feri sedia ada menjadi feri pelancong.

“Saya tidak pernah bersetuju dengan pemberhentian terus feri Pulau Pinang kerana saya memahami ia mempunyai nilai nostalgia kepada rakyat Pulau Pinang dan feri tersebut boleh dijadikan sebagai satu produk pelancongan yang boleh dipromosikan sebagai tanda simbolik Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa menjadi menteri, Anthony memberi komitmen bahawa projek menaik taraf sistem perkhidmatan feri Pulau Pinang.

Projek menaik taraf feri di bawah Syarikat Prasarana Malaysia (Prasarana) termasuk pelan memperkenalkan bot jenis Catamaran selain mewujudkan feri pelancongan di Pulau Pinang.- MalaysiaGazette