MELBOURNE – Harga minyak jatuh sedikit dalam dagangan hari ini tetapi tetap berada dalam jarak menyentuh paras tertinggi sembilan bulan semalam susulan lonjakan kes Covid-19 yang membebankan permintaan terhadap bahan bakar dan penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) terus berjuang untuk pakej rangsangan ekonomi bernilai AS$ 900 bilion.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) A.S. turun AS$0.07 atau 0.1%, kepada AS$48.29 setong pada 0218 GMT.

Sementara niaga hadapan minyak mentah Brent turun AS$0.13 atau 0.3%, kepada AS$ 51.37 setong.

Kedua-dua kontrak telah meningkat pada hari Khamis kerana optimis mengenai kemajuan pada rang undang-undang bantuan Covid-19, permintaan kukuh ke atas minyak ditapis Asia dan penurunan dolar AS ke paras terendah dua setengah tahun.

Memandangkan urus niaga minyak dalam dolar, dolar AS yang lemah menjadikan minyak lebih murah dalam mata wang lain.

“Kami berpandangan pasaran masih mengabaikan tekanan permintaan jangka pendek peningkatan kes Covid-19 dan sekatan Covid-19 di A.S. dan Eropah,” kata penganalisis komoditi Commonwealth Bank, Vivek Dhar dalam nota penyelidikannya.

Penganalisis berpendapat, selera risiko meningkat dengan prospek perjanjian rangsangan AS yang akan segera berlaku, bakal membantu meningkatkan permintaan tetapi penggubal undang-undang belum mencapai kesepakatan sehingga hari Khamis.

Pelaksanaan program vaksin yang berterusan juga membantu melindungi pasaran daripada kejatuhan yang curam.

Pentadbiran Makanan dan Dadah AS diharapkan membenarkan penggunaan vaksin koronavirus Moderna Inc. setelah penggunaan kecemasan disahkan oleh panel bebas.

ANZ Research berkata, lonjakan harian kes jangkitan Covid-19 dan sekatan pergerakan yang semakin ketat di Jepun, memberi tekanan terhadap Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Rusia dan sekutunya.

OPEC dan sekutu-sekutunya merancang untuk menambah 500,000 tong sehari pada bulan Januari, sebagai langkah pertama untuk mengembalikan dua tong sehari dalam pasaran. – MalaysiaGazette