Faktor udara, haba, air liur dan cairan hidung yang terperangkap antara kulit dan pelitup muka boleh menyebabkan kehilangan lapisan pelembap kulit yang asli yang bertindak sebagai pelindung kulit.- Gambar hiasan.

REALITINYA tahun 2020 bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa minggu lagi sementara 2021 yang bakal menjelma pasti menjanjikan pelbagai kisah gembira, lucu dan duka kepada kira-kira 7.8 bilion penduduk di dunia ini.

Namun mahu atau  tidak kita perlu menerima hakikat telah hampir setahun rakyat negara ini malah lebih 200 negara di seluruh dunia ini hidup bersama virus Covid-19 sejak kes pertama dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019.

Ternyata, negara kita masih bertarung dengan makhluk ciptaan tuhan ini dan kes Covid-19 di negara kita semakin meningkat dan tidak mustahil bilangan itu akan mengatasi kes positif di Wuhan yang mencatat 86,758 kes pada tarikh yang sama tidak lama lagi.

Namun, hakikatnya di negara China kes baharu setiap hari sekitar satu hingga dua angka berbanding negara kita sekitar tiga hingga empat angka sehari yang jumlah itu bersamaan seperti pelajar dan warga kerja di sebuah sekolah menengah harian atau berasrama penuh.

Dalam perkembangan berkaitan, pada 1 Ogos lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik menerusi laporan berita sebagai berkata, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Dalam pada itu, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia terdapat tiga ciri pelitup muka yang perlu dipatuhi iaitu pertama lapisan dalam berfungsi menyerap titisan cecair seperti kain daripada kapas atau campuran kapas.

Kedua, lapisan tengah bersifat menghindar penyerapan air dan diperbuat daripada bahan sintetik bukan tenunan seperti polipropilena atau lapisan kapas.

Ini penting untuk meningkatkan penapisan atau menyerap titisan cecair.

Sementara itu, yang ketiga ialah, lapisan luar perlu bersifat menghindar penyerapan air seperti polipropilena, poliester atau campuran kedua-duanya yang berfungsi mengehadkan pencemaran dari luar menembus masuk ke hidung dan mulut pemakai.

Namun, pemakaian pelitup muka boleh realitinya mengundang kepada masalah jerawat atau radang kulit sekiranya dipakai dengan kerap, tempoh masa yang lama, penggunaan kosmetik dibahagian muka yang tidak sesuai, cara pemakaian selain kualiti
pelitup muka.

Mengulas isu ini, Pakar Dermatologi Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Wan Syameen Afira Wan Ahmad berkata, pemakaian pelitup muka secara tidak praktikal boleh menyebabkan penyakit urban dikenali maskne atau nama baharu untuk penyakit acne
mechanica iaitu jerawat yang berlaku akibat gosokan, tekanan atau sentuhan kasar pada permukaan kulit.

Dr Wan Syameen Afira
Wan Ahmad.

 

“Sebenarnya jerawat ini tidak sama seperti acne vulgaris atau lebih dikenali jerawat biasa yang majoritinya berpunca kerana kitaran hormon. Maskne pula terjadi apabila peluh, minyak dan bakteria terperangkap di atas permukaan kulit disebabkan
pemakaian pelitup terlalu lama.

“Iritasi kulit juga boleh berlaku apabila pelitup muka selalu bersentuh dan menggosok permukaan kulit menyebabkan kekurangan lapisan pelindung pada kulit dan sumbatan
diliang-liang roma punca jerawat mudah merebak,” katanya baru-baru ini.

Pakar kulit itu juga menasihatkan supaya pemakai pelitup muka tidak menggunakan bahan yang memangkin liang-liang pori semakin mudah tersumbat seperti barangan kosmetik.

“Sebaiknya, gunakan pelembap yang tidak menutup pori (non-comedogenic) seperti jel atau krim yang soft (lembut) terutama ditempat-tempat kering. Namun, sekiranya kulit masih berminyak dan berjerawat sebaiknya gunakan pelembap pada waktu malam
sahaja.

“Rawat jerawat dengan sapuan ubat yang mengandungi benzoyl peroxide dan antibiotik seperti clindamycin tetapi sekiranya masih belum sembuh sebaiknya mereka berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan nasihat dan rawatan lanjut.

Katanya lagi, iklim negara kita yang bercirikan khatulistiwa boleh menyumbang berlakunya masalah radang kulit semasa memakai pelitup muka.

“Faktor udara, haba, air liur dan cairan hidung yang terperangkap antara kulit dan pelitup muka boleh menyebabkan kehilangan lapisan pelembap kulit yang asli yang bertindak sebagai pelindung kulit.

“Semua ini menyebabkan kulit mengalami iritasi dan keradangan. Selain itu, terdapat juga individu yang mengalami alahan terhadap bahan asas pelitup muka seperti tali, fabrik atau logam terutamanya bahagian yang menutup hidung seperti getah dan
formaldehyde yang boleh menyebabkan kulit terasa gatal, merah, pedih, kering atau bersisik dan tumbuh biji-biji kecil yang gatal.

Wan Syameen menasihatkan mereka yang bukan petugas kesihatan supaya tidak memakai pelitup muka untuk tempoh masa yang lama selain beralih kepada pencuci muka yang lembut dan kurang risiko alahan seperti bebas pengawet seperti paraben,
pewangi dan pewarna.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering mengingatkan kepentingan pemakaian topeng muka kategori tiga lapisan dan N95.

Penggunaan pelitup jenis itu paling sesuai digunakan sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19 kerana mampu menapis kira-kira 95 peratus virus.

Sebaliknya, KKM tidak menggalakkan orang ramai menggunakan pelitup muka fabrik yang hanya mempunyai satu atau dua lapisan.

Tips-tips elak maskne dan radang kulit

 Tidak menggunakan bahan yang memangkin liang-liang pori semakin mudah tersumbat seperti barangan kosmetik.

 Gunakan pelembap yang tidak menutup pori (non-comedogenic) seperti jel atau krim yang lembut terutama ditempat-tempat kering.

 Sekiranya kulit masih berminyak dan berjerawat sebaiknya gunakan pelembap pada waktu malam sahaja.

 Rawat jerawat dengan sapuan ubat yang mengandungi benzoyl peroxide dan antibiotik seperti clindamycin.

 Mereka yang bukan petugas kesihatan atau barisan hadapan tidak memakai pelitup muka terlalu lama.- MalaysiaGazette

 

LUTFI MEGAT RAHIM merupakan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis.