Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

GOMBAK – Lima individu warga tempatan, termasuk tiga wanita, ditahan polis kerana disyaki memalsuan sijil cuti sakit sebuah klinik swasta.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua suspek yang berumur antara 53 hingga 55 tahun itu ditahan di sekitar Gombak dan Sungai Buloh oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Gombak pada 12 Disember lalu.

“Siasatan mendapati mereka bukan sahaja terlibat jenayah memalsukan sijil cuti sakit klinik swasta dari Puchong, malah turut menggunakan sijil cuti sakit itu.

“Hasil pemeriksaan turut dirampas dua unit komputer dan dua unit mesin percetakan dan pengimbas berserta dengan salinan asal sijil cuti sakit palsu (mastercopy) yang digunakan untuk mengimbas scan dan mencetak sijil cuti sakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, siasatan dijalankan polis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan telah direman selama enam hari sejak 13 Disember lalu dan semalam dihadapkan dan sudah dituduh di mahkamah Majistret Selayang semalam.

“Soal siasat sepanjang reman dan semakan rekod mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kita juga mengambil empat telefon bimbit pelbagai jenama dan 15 keping Sijil Cuti Sakit disyaki palsu untuk membantu siasatan,” tambah beliau.

Arifai berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis daripada seorang doktor yang merupakan pemilik klinik yang terletak di Kundang pada Khamis lalu.

Katanya, doktor itu menerima panggilan telefon dari sebuah syarikat swasta di Puchong, Selangor untuk mengesahkan sijil cuti sakit melibatkan pekerjanya yang dikeluarkan oleh klinik pengadu sebelum semakan mendedahkan ia palsu dan tiada rekod dalam data simpanan klinik.

“Pengadu kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera pada sijil cuti sakit tersebut dan dijawab oleh seorang lelaki tempatan yang cuba memujuk doktor berkenaan dengan menawarkan RM5,000 supaya doktor itu tidak membesar-besarkan isu tersebut serta menutup mulutnya daripada membongkarkan kegiatan itu,” katanya.

Tujuh pekerja Bangladesh palsukan keputusan Covid-19 diburu polis