Seramai 35 Pendatang Asing Tanpa Izin warga Indonesia ditahan pihak berkuasa dalam Op Benteng. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Operasi Benteng yang dijalankan seluruh negara semalam berjaya menahan 83 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi operasi itu sebanyak 118 Sekatan Jalan Raya (SJR) dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“PDRM menjalankan 47 SJR, ATM pula 62 SJR dan AKSM sembilan SJR,” katanya pada sidang media harian, hari ini.

Menerusi Operasi Benteng itu, katanya ia membabitkan ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan AKSEM.

Katanya, agensi berkenaan dipertanggungjawabkan untuk terus mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mendedahkan sejak 24 Julai sehingga 19 Disember, seramai 89,479 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Kata beliau, kesemua telah ditempatkan di 75 Hotel dan 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,384 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 532 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 80,563 individu telah dibenarkan pulang.

“Mereka telah pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan.

“Selain itu, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman,” ujarnya.

Sejak 20 April sehingga 19 Disember, sebanyak 14,007 pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Ianya melibatkan 8,000 tapak binaan di seluruh negara.

“Semalam, anggota penguatkuasa telah membuat pemeriksaan di 7 tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua 7 tapak binaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya. -MalaysiaGazette