Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan kerugian kira-kira RM10,000 ketika beliau sedang berbincang dengan empat individu yang menawarkan perkhidmatan trak tunda.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi kelmarin, lelaki yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Syed Putra yang membuat laporan polis itu menyatakan dia didatangi dua lelaki dan dua wanita yang menawarkan khidmat trak tunda.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Anuar Omar berkata, semasa pengadu sedang berunding dengan salah seorang lelaki tersebut beliau terlihat tiga orang lagi rakannya dalam keadaan mencurigakan berdekatan dengan keretanya.

Katanya, pengadu juga terlihat salah seorang daripada wanita itu masuk ke dalam keretanya dan keluar selang lima minit
kemudian.

“Setelah berbincang dengan lelaki Melayu tersebut, pengadu tidak bersetuju untuk mengambil khidmat trak tunda mereka. Selepas mereka beredar, pengadu mendapati beberapa barang miliknya telah hilang dari dalam kereta.

“Pengadu mengesyaki mereka yang menawarkan khidmat trak tunda tersebut telah mencuri barang miliknya. Kerugian yang dialami pengadu dianggarkan bernilai lebih kurang RM10,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, bertindak daripada laporan polis yang dilakukan pada jam 7.49 malam  kelmarin, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields membuat tangkapan keempat-empat suspek di parkir sebuah stesen minyak di Shah Alam semalam.

Anuar berkata, hasil pemeriksaan terhadap semua suspek polis merampas satu unit speaker jenama Blaupunkt, satu peralatan SmartTAG bersama kad Touch & Go, sebuah beg silang jenama Polo Louie berwarna coklat, dua keping kad Debit Visa, tiga telefon bimbit pelbagai jenama, seutas jam tangan jenama Apple dan satu kunci kereta.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut, kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 32 tahun telah mengaku terlibat dalam kes berkenaan.

Jelasnya, semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek lelaki mempunyai satu rekod lampau melibatkan kesalahan pecah amanah dan salah seorang suspek wanita mempunyai pelbagai rekod jenayah melibatkan dadah dan kesalahan curi dalam bangunan.

Katanya, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Disember ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – Malaysiagazette