Gambar hiasan

TOKYO – Harga minyak susut dalam awal dagangan hari ini susulan penularan strain baharu koronavirus di United Kingdom yang menimbulkan kebimbangan akan berlaku sekatan lebih ketat dan menjejaskan pemulihan ekonomi global.

Harga minyak mentah susut AS$0.97 atau 1.9% kepada AS$51.29 setong selepas melonjak 1.5% dan mencecah paras tertinggi sejak Mac pada Jumaat lalu.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat turun AS$0.83 atau 1.7%, kepada AS$ 48.27 setong selepas naik 1.5% pada hari Jumaat ke tahap tertinggi sejak Februari.

Penurunan pada hari Isnin berlaku setelah harga minyak merekodkan kenaikan tujuh minggu berturut-turut minggu lalu ketika para pelabur memfokuskan program pemberian vaksin Covid-19.

”Varian baharu koronavirus di Britain dan sekatan perjalanan yang lebih ketat di Eropah mencetuskan kebimbangan mengenai pemulihan ekonomi yang lebih perlahan,” kata Kazuhiko Saito, Ketua Penganalisis Broker Komoditi Fujitomi Co.

Menurutnya, pasaran minyak telah mengalami trend kenaikan dalam sebulan lalu, mengabaikan faktor-faktor negatif, di tengah-tengah situasi optimisme bahawa peluasan vaksin akan menghidupkan semula pertumbuhan global, tetapi harapan para pelabur untuk tahun 2021 tiba-tiba lenyap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast