MUDA
Foto hiasan

PUTRAJAYA – Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini menuntut agar pendaftaran parti itu segera diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Pengasasnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, permohonan untuk kelulusan  sudah mencecah tiga bulan namun tiada sebarang perkembangan terkini mengenai statusnya.

“Semasa pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam masa 30 hari sahaja kami terus dapat kelulusan, ini ketika di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kenapa lebih mudah untuk dapat kelulusan parti di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jika nak dibandingkan di bawah pimpinan sekarang.

“Dahulu Bersatu diwakili oleh figura besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Kalau betul kami ini lemah dan tidak dapat mempengaruhi landskap politik negara, kenapa takut dengan orang muda sampai menyekat kami,” katanya dalam sidang media di hadapan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sidang media selepas menyerahkan surat peguam di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ HAMBALI, 21 DISEMBER 2020.

Sebelum itu, Syed Saddiq bersama tiga anak muda menyerahkan surat tuntutan kepada JPPM berikutan isu pendaftaran parti itu yang masih belum selesai.

Jelas Ahli Parlimen Muar itu, proses permohonan MUDA masih dalam pertimbangan JPPM dan masih menunggu kelulusan.

Syed Saddiq daftar parti ‘Muda’ hari ini

Katanya, sekiranya kelulusan untuk parti itu tidak diberikan, MUDA akan membawa kes ini ke mahkamah dan akan diwakili oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Datuk Ambiga Sreenevasan.

“Seboleh-bolehnya kami tidak mahu menggunakan jalan ini, kami masih mahu menggunakan pendekatan diplomasi.

“Kami tidak menekan atau mengeluarkan kenyataan terhadap JPPM, Perdana Menteri, mahupun Kementerian Dalam Negeri.

“Kami cuba membuat rundingan berkali-kali dengan proses ditambah baik, kita buat secepat mungkin. Kita cuba penuhi permintaan.

“Saya juga berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan dua kali pertemuan dengan Perdana Menteri. Saya cuba yang terbaik dengan pendekatan demokrasi tapi apabila disekat, kami terpaksa menggunakan proses perundangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, menurut surat tuntutan (LOD) tersebut, Tommy menyatakan kelewatan RoS memberi kelulusan kepada MUDA adalah tidak rasional dan melanggar harapan anak guamnya untuk dilayan secara adil.

“Ini adalah ultra vires Akta Pertubuhan, sekali gus melanggar hak Perlembagaan anak guam kami untuk membentuk persatuan di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan,” menurut Tommy dalam surat tersebut.

Untuk rekod, MUDA mengemukakan permohonan bagi menubuhkan parti politik kepada RoS pada 17 September lalu namun belum diluluskan.

Permohonan itu dibuat sebulan selepas permohonan sama dikemukakan oleh parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga masih belum diluluskan RoS. – MalaysiaGazette