Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hadir bagi mendengar keputusan dalam pertuduhan rasuah RM2 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang kebiasaannya seorang yang ceria dan sentiasa tersenyum, hari ini nampak seperti kecewa dan sedih.

Beliau yang turun dari mahkamah terus bergegas masuk dalam kereta tanpa mengendahkan puluhan media yang menunggunya di bawah Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Walaupun diasak media untuk memberikan ulasan berhubung keputusan kes rasuah RM2juta membabitkan dirinya sebentar tadi, Tengku Adnan atau lebih popular dengan panggilan Ku Nan enggan membuka mulut.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap Tengku Adnan atas kesalahan menerima rasuah dari seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri.

Mohamed Zaini ketika membacakan penghakiman beliau berkata, kesalahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Putrajaya sebenarnya serius dan hukuman dijatuhkan ke atasnya perlu dijadikan pengajaran kepada umum.

Malah kata Mohamed Zaini, hukuman itu dijatuhkan mengambil kira kepentingan orang ramai dan bukannya tertuduh semata-mata, walaupun pembelaan telah berhujah dengan fakta-fakta penting terutamanya sumbangan beliau sebagai ahli politik selama hampir 17 tahun.

Bagaimanapun Mohamed Zaini membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB.

Wang tersebut diterima melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik THSB yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Ahli Parlimen Putrajaya berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan. -MalaysiaGazette