Abdul Rahim Jaafar. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat kegiatan penyeludupan daging beku di sempadan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab di beberapa buah negeri di seluruh negara.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata, antara negeri-negeri yang dikenal pasti menjadi lokasi kemasukan  daging-daging beku secara haram ini ialah Kelantan dan Sarawak.

Beliau berkata, isu penyeludupan daging-daging beku ini bukannya isu baharu dan pihaknya sentiasa berdepan kes-kes seperti ini serta membuat tangkapan terhadap mereka yang didapati cuba membawa masuk daging-daging berkenaan secara tidak sah.

“Ya, memang ada kemasukan (daging-daging beku secara tidak sah). Penyeludupan daging beku ini banyak (kita buat tangkapan) dan pelbagai rampasan juga kami lakukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import yang tular di media baru-baru ini.

Sumber SPRM dilaporkan berkata, siasatan itu akan dijalankan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 1 Disember, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor Bahru, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku.

Kartel berkenaan dipercayai menjadikan sebuah gudang di Senai sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu. – Bernama