Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dari daerah Selangau, Sibu merupakan mangsa kes rabies terbaharu di Sarawak.

Berikutan itu kes rabies dalam kalangan manusia di negeri itu meningkat kepada sembilan orang pada tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri dr. Noor Hisham Abdullah berkata, wanita berumur 53 tahun itu telah dimasukkan ke wad di Hospital Sibu pada 8 Disember lalu dengan gejala sesak nafas dan batuk.

“Pesakit turut mengadu sakit tekak, demam dan lemah badan selama tiga hari sebelum dimasukkan ke wad tetapi malangnya telah meninggal dunia pada 15 Disember lalu dengan diagnosa rabies meningoencephalitis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, mendiang pernah digigit oleh anjing peliharaannya di bahagian jari pada bulan Oktober lalu, namun wanita itu tidak mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

Tambah beliau, anjing tersebut telah mati tanpa diketahui sebab kematian beberapa hari selepas menggigit tuannya tetapi ia tidak dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

“Mangsa juga ada membela beberapa ekor anjing dan kucing tetapi kesemua haiwan ini tidak dibawa untuk suntikan vaksin anti-rabies.

“Pertambahan kes ini juga menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 31 Julai 2017 sehingga kini adalah berjumlah 31 kes dengan 29 kematian,” ujarnya.

Ujarnya, hanya dua kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah telah mendapatkan rawatan awal dan kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan.

Dr. Noor Hisham berkata, orang awam perlu sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada jangkitan rabies iaitu mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

Malah katanya, orang ramai perlu bergegas ke klinik kesihatan atau hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan segera jika digigit oleh haiwan peliharaan atau anjing liar, walaupun semasa fasa kawalan pergerakan dalam pandemik Covid-19 ini.

Katanya, anjing peliharaan pula perlu mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun dari klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

“Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berhampiran selain melaporkan kematian haiwan tanpa sebab kepada DVS untuk siasatan selanjutnya.

“Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal dan sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette