Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi harga barangan gerai jualan pada Majlis Pelancaran Program Jualan Kembali Ke Sekolah di KPDNHEP, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi domestik sejak Jun lalu telah menampakkan hasilnya.

Ini berdasarkan dapatan dari kajian yang dijalankan oleh UOB Asean Consumer Sentiment yang mendapati tujuh dari 10 penduduk negara ini atau 69% membeli barangan tempatan dan menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, trend membeli produk dan jenama Malaysia lebih kuat berbanding negara jiran kita iaitu Thailand (67%), Vietnam (58%) dan Singapura ( 51 %).

Hanya Indonesia mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik dengan mencatatkan sebanyak 72%.

Perkembangan ini memberi isyarat yang sangat positif dalam usaha menyemarakkan semula sektor perniagaan domestik setelah sebahagian besar sektor ini terjejas teruk akibat pandemik yang melanda seluruh dunia.

Menurutnya, satu lagi pencapaian dari dua inisiatif tersebut adalah peningkatan 41% dalam sektor perniagaan atas talian untuk urus niaga peruncitan sejak Mac 2020.

Ini satu bukti yang menunjukkan lebih ramai pengguna dan perniagaan telah beralih ke Internet untuk membeli keperluan dan menjual barangan mereka sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.

”Tinjauan itu juga mendapati bahawa pengguna Malaysia telah mengutamakan perbelanjaan atas talian untuk penghantaran makanan (91%), bahan makanan (89%), pakaian (88%), produk kecantikan (85%) dan suplemen kesihatan (84%),” katanya di sini.

Kajian turut mendapati 60% pengguna Malaysia yang ditinjau sanggup berbelanja untuk barang keperluan harian dan kelangsungan kehidupan yang terjejas oleh Covid-19 sementara 53% menunjukkan bahawa mereka tidak akan menyokong jenama yang tidak bertanggungjawab atau yang mengambil kesempatan dari pengguna semasa wabak .

”Sejajar dengan hashtag #kitajagakita, pengguna Malaysia telah menonjolkan semangat patriotism yang tinggi menggunakan kuasa beli mereka sebagai ganjaran kepada perniagaan yang berusaha untuk menyokong masyarakat dalam menangani pendemik itu.

”Walaupun kita belum menang sepenuhnya, tetapi kajian itu telah memberikan fajar baru untuk saya dan kementerian saya untuk terus mencari idea dan strategi baru lagi inovatif untuk memastikan ekonomi kita benar-benar pulih di tahun 2021.

”Slogan “Berbelanja Untuk Malaysia” di mana setiap ringgit yang dibelanjakan oleh rakyat Malaysia terutama untuk produk dan jenama tempatan akan memastikan ekonomi negara kekal kompetitif dan berdaya maju,” ujarnya. – MalaysiaGazette