Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Asrama pekerja kilang Westlife, Taman Perindusrian Tampoi Jaya dekat Johor Bahru dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 8 Januari.

Perkara itu dimaklumkan, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail sabri Yaakob berikutan terdapat pertambahan bilangan kes positif Covid-19 secara mendadak di kawasan tersebut.

Katanya, maklumat mengenai pertambahan kes itu dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru bermula 26 Disember 2020 sehingga 8 Januari 2021,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terbaharu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di siniĀ  hari ini.

Beliau berkata, PKPD yang akan dikenakan di kawasan berkenaan akan melibatkan sebanyak 231 unit rumah dengan anggaran jumlah penghuni seramai 3,116 orang.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, seramai 236 individu dikenakan kompaun manakala, 10 lagi direman kerana ingkar arahan PKP.

Ujarnya, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (91), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (84), tidak memakai pelitup muka (44), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (23) dan lain-lain (4).

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Benteng yang diadakan pihak berkuasa semalam.

Katanya, dalam operasi tersebut turut ditahan dua tekong selain rampasan ke atas lapan buah kenderaan darat. – MalaysiaGazette