Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Cek Maju Institute of Education Development (MiED) di HGH Convention Centre, Sentul, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – “Saya mahu lihat sampai bila mereka mahu tipu kerajaan sembunyikan pekerja daripada pemeriksaan pihak berkuasa.

“Tipu dan larikan pekerja ke tempat lain bukan penyelesaian tetap, ingatlah, tindakan tegas akan menyusul nanti,” kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau mendedahkan helah sebuah kilang sarung tangan yang melarikan pekerja asing dari tempat penginapan yang dalam keadaan teruk yang disediakan syarikat di premisnya untuk disembunyikan di hotel berhampiran pada waktu malam sebelum serbuan dilakukan pihak berkuasa.

Menurut Saravanan, tindakan majikan itu terdedah selepas Jawatankuasa Tindakan Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia menyerbu kilang tersebut yang terletak di kawasan Perindustrian Bandar Sulatan Sulaiman, Pelabuhan Utara di Klang dua hari lalu bagi memeriksa penginapan pekerja asing.

“Baru-baru ini kita ada buat serbuan di sebuah kilang sarung tangan di kawasan Pelabuhan Klang, walaupun kita terima bukti cukup kukuh bahawa tempat penginapan yang disediakan untuk pekerja mereka tidak sesuai dan melanggar Akta 446, dan atur operasi maklumat serbuan sudah bocor.

“Sebelum kita sampai untuk serbuan dan pemeriksaan di kilang itu, majikan melarikan pekerja mereka dari longgokan bilik sempit ke tempat lain iaitu hotel berhampiran elak dihidu pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Maju Institute of Education Development (MiED) hari ini.

Berikutan itu, Saravanan, memberi amaran bahawa helah syarikat terbabit tidak akan berpanjangan.

Tambah beliau, apa yang kerajaan saranka ialah majikan perlu  mengurus dan menyelesaikan masalah pekerja asing seperti termaktub dalam akta dan merekea tidak sepatutnya mengambil kesempatan dan mencari jalan pintas dengan meyembunyikan pekerja.

“Itu bukan cara majikan menyelesaikan masalah atau kelemahan di tempat kerja termasuk penganiayaan kepada baik pekerja asing mahupun tempatan kita dengan membawa lebih 2,000 pekerja dan letak di hotel selama sehari dua daripada dikesan kerajaan,” ujarnya.

Ditanya mengenai tindakan susulan, Saravanan berkata, kementeriannya sedang memantau kilang sarung tangan yang menipu kerajaan yang masih beroperasi dengan menutup kesalahannya daripada dikesan pihak berkuasa dan diambil tindakan berat.

“Kita sedang memantau rapat kilang itu, saya nak lihat berapa lama dia boleh bawa lari pekerja dan sembunyikan dari kami, syarikat masih operasi, kita akan bertindak pada masa yang sesuai tidak lama lagi,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dalam tempuh semalam jer pihak majikan berjaya mematuhi Akta 466 dengan menyediakan tempat tinggal para pekerja di hotel bajet. Semoga berterusan dalam mematuhi Akta 466 yang berkenaan. Sekian dan wasallam.

Comments are closed.