Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki tempatan dan merampas 573 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM25.87 juta dalam satu siri serbuan di Nibong Tebal, dekat sini bermula Isnin hingga Rabu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, rampasan dadah itu adalah yang terbesar oleh pihaknya pada tahun ini.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata bertindak atas hasil maklumat dan risikan, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan melancarkan operasi bermula 7 malam Isnin hingga 11 malam Rabu lepas.

“Lelaki pertama yang berusia 37 tahun ditahan di dalam sebuah kereta di Taman Perindustrian Nibong Tebal dekat sini. Pemeriksaan ke atas keretanya menemukan 100 bungkusan dipercayai mengandungi dadah jenis syabu bernilai RM4.67 juta.

“Siasatan mendapati lelaki itu yang merupakan dalang utama sindiket, sedang menunggu pelanggannya di situ,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan ke atas lelaki itu, polis menyerbu sebuah premis kedai, juga di kawasan Taman Perindustrian Nibong Tebal yang dijadikan stor menyimpan pelbagai jenis dadah dan polis merampas syabu, serbuk dan pil ecstacy, heroin base serta ketamin yang kesemuanya bernilai RM21.19 juta.

Sahabudin berkata, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 43 tahun di kawasan Nibong Tebal dan dia dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah yang telah beroperasi sejak pertengahan tahun ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua dadah itu dibawa masuk melalui jalan darat dari negara jiran dan transit di Nibong Tebal sebelum dihantar untuk pasaran di Kuala Lumpur serta Selangor.

“Dalam siri serbuan itu, kami merampas 400.8 kg syabu, 78.9 kg serbuk ecstacy, 91.3 kg pil ecstacy, 1.49 kg heroin base dan 306 gram ketamin yang kesemuanya bernilai RM25.87 juta. Polis turut menyita sebuah kereta, wang tunai, barang kemas dan duit dalam akaun yang kesemuanya dianggarkan RM243,231.82,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek pertama yang tidak bekerja, mempunyai tiga rekod lampau berkaitan narkotik selain turut positif dadah, sementara suspek kedua yang  bekerja sebagai penjual dalam talian tiada rekod lampau atau positif dadah.

Kedua-duanya kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya, menambah sepanjang tahun ini pihaknya telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM48.67 juta termasuk kes terbaharu itu. – Bernama