Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji secara terperinci kemungkinan melaksanakan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi membolehkan pendapatan negara meningkat.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd. Rahim Bakri berkata, kerajaan mengambil pengalaman daripada apa yang berlaku sebelum ini termasuk penukaran GST kepada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Datuk Othman Aziz di persidangan Dewan Negara hari ini.

Senator, Datuk Wira Othman Aziz.

Sebelum itu, Othman bertanya sejauhmanakah seriusnya kerajaan untuk memperkenalkan semula GST selepas negara kehilangan lebih RM300 bilion atau 21 peratus wang rakyat dalam ekonomi gelap seperti terkandung dalam laporan ekonomi tahun 2021.

Menurutnya pelaksanaan GST menjadikan kerajaan berkemampuan menyediakan apa sahaja pembangunan yang berkaitan kepentingan rakyat.

Mengikut laporan Jabatan Kastam pula, katanya, dalam tempoh separuh pertama tahun 2020 sejumlah RM812 juta telah tiris dalam ekonomi gelap.

“Kehilangan ini berpunca dari banyak sebab, antaranya elak cukai, ada yang isytihar secara gelap dan sebagainya. Ini menyebabkan kerajaan kehilangan duit lebih RM300 bilion dalam pasaran gelap sahaja. Kalau jumlah ini dapat dikutip, banyaklah perkara (pembangunan) dapat dibuat oleh negara untuk kepentingan rakyat,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020 di Dewan Negara hari ini.

Menurut Othman, kegiatan pasaran gelap berlaku kerana kerajaan baharu yang mengambil alih selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah menghapuskan sistem cukai GST dan diganti dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kita sedar telah kehilangan melalui cukai GST ini lebih RM45 bilion setahun dan penghapusannya seperti membuka kembali kepada aktiviti ekonomi haram,” katanya. – MalaysiaGazette