Lionel Messi

MADRID – Kapten Barcelona, Lionel Messi mengalih perhatiannya ke arah Liga Benua Amerika apabila menyatakan hasratnya untuk beraksi dalam Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat (AS) satu hari nanti.

Namun dia tidak pasti mengenai masa depannya apabila kontrak bersama the Catalans tamat pada Jun 2021.

Superstar Argentina berusia 33 tahun itu boleh memulakan rundingan bersama kelab luar negara apabila jendela perpindahan musim sejuk dibuka Januari ini.

Spekulasi menyelubungi pemain itu sejak dia mengemukakan permohon meninggalkan kelab itu pada Ogos lalu.

Tindakan mengejut itu susulan salah faham dengan bekas presiden kelab itu, Josep Maria Bartomeu yang berundur Oktober lalu.

“Saya tak tahu apa yang akan buat pada masa akan datang. Saya akan tunggu sehingga musim La Liga 2020/21 berakhir untuk memikirkan perkembangan seterusnya.

“Saya berminat untuk beraksi di AS dan menikmati kehidupan di sana dan juga liga MLS,” katanya dalam wawancara khas bersama saluran televisyen Sepanyol.

Namun katanya buat masa ini dia menumpukan perhatian kepada La Liga dan membantu pasukan menamatkan saingan kempen dengan baik dan memenangi piala.

Dia tidak mahu konsentrasi dan prestasinya terganggu dengan perkara lain.

Barcelona yang gagal merangkul sebarang gelaran musim lalu kini menduduki tangga kelima dalam La Liga dianggap terburuk dalam tempoh 33 tahun.

Sejak menyertai kelab itu pada usia 13 tahun, Messi menjadi penjaring sepanjang masa Barcelona, menjulang 10 gelaran La Liga dan empat gelaran Liga-Juara-Juara Eropah.

Dia turut memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak enam kali.-MalaysiaGazette