Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun (tengah) bersama Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon (kiri) dan Datuk Seri Azalina Othman (kanan) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Speaker dan Timbalan Speaker adalah sah di sisi undang-undang.

Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Kamal Md Shahid hari ini membenarkan permohonan Azhar untuk membantah cabaran undang-undang oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pelantikan itu.

Kata Ahmad Kamal ketika membacakan keputusannya, hanya Parlimen sahaja  mempunyai kuasa tunggal untuk memutuskan isu pelantikan tersebut.

Pada 23 Julai lepas, selain Tun Mahathir, turut memfailkan saman pemula itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh.

Kelima-lima plaintif juga mahukan pengisytiharan bahawa jawatan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat masih kosong sejak 13 Julai.

Sementara itu selain Azhar dan Azalina, defendan lain yang membantah adalah Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.

Antara lain, tuntutan itu bertujuan mendapatkan kesahihan pelantikan Azhar dan Azalina sebagai speaker dan timbalan speaker, tetapi tidak ditujukan kepada jawatan Rashid sebagai sebagai Timbalan Speaker. -MalaysiaGazette