Seorang wanita berusia 51 tahun disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana memukul kucing sehingga mati di rumahnya di Pulau Pinang.- Gambar hiasan.

GEORGETOWN-  Seorang wanita berusia 51 tahun disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana memukul kucing sehingga mati di rumahnya di Pintas Kalui, Pulau Pinang.

Tindakan kejam itu menyebabkan seekor daripada kucingnya yang bunting mati manakala seekor lagi mengalami luka di mulut.

Menurut kenyataan di Twitter Berita Harian, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Assisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pengadu bersama rakannya mendakwa mendengar wanita terbabit merungut mengenai beberapa kucing yang membuang najis di hadapan rumahnya pada jam 1.20 tengahari.

Beliau berkata, wanita terbabit kemudian dilihat mengambil besi dalam keretanya sebelum memukul kucing berkenaan.

Ujar Shafee, suspek berusia 51 tahun itu bekerja sebagai broker dan tiada rekod jenayah lampau.

“Suspek akan diambil tindakan oleh Jabatan Veterinar” kata Shafee. -MalaysiaGazette