Datuk Ir. Hasni Mohammad (tiga, kiri) bersama penerima rumah Projek Mesra Rakyat TNB Peringkat Negeri Johor 2020, Ng Kim Sia (tiga, kanan) di Kampung Lama, Pontian.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama kerajaan negeri Johor telah membantu dua
warga Johor daripada golongan B40 untuk membaiki dan membina kediaman di bawah program Projek Mesra
Rakyat (PMR).

Pelaksanaan PMR adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial TNB bagi membantu golongan B40 untuk sama ada membaiki, membeli atau membina rumah masingmasing dengan nilai sumbangan RM50,000.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, beliau terharu dengan keprihatinan TNB untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu membina atau membaik pulih rumah golongan yang kurang berkemampuan dan sangat memerlukan bantuan.

“Harapan saya agar kerjasama antara TNB dan kerajaan negeri dapat diteruskan untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya pada majlis Majlis Penyerahan Surat Tawaran PMR kepada Krishnan a/l Mutusamy dan Ng Kim Siang di Kampung Lama, Pontian, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek dan Pengurus Besar Negeri Johor TNB, Mohamad Noh Md Seth.

Sejak dimulakan pada 2012, sebanyak RM780,000 telah dibelanjakan di bawah PMR bagi membina dan membaik pulih 23 kediaman di negeri Johor.

Di peringkat kebangsaan pula, sejak 2012, sebanyak RM7.8 juta dibelanjakan di bawah program itu bagi membantu 220 penerima.

Sementara itu,  Kim Siang, 39, mengucapkan penghargaan kepada TNB kerana sebuah rumah baru tiga bilik kini menggantikan pondok usang kediaman beliau dan ibunya yang uzur di Kampung Lama, Pontian.

“Pondok lama kami sangat uzur dan berlubang dindingnya. Kami amat berterima kasih kepada TNB kerana prihatin terhadap nasib masyarakat seperti kami,” ujarnya.

Krishnan, 72, menzahirkan rasa syukur kerana kini, beliau bersama isteri dan lima anaknya yang masih bersekolah menerima bantuan PMR.

“Terima kasih TNB kerana membantu membaik pulik rumah kami yang banyak rosak sebelum ini,” katanya yang tinggal di Kampung Paya Jakas, Segamat.

Selain PMR, TNB turut melaksanakan bantuan serupa yang dinamakan Program Baiti Jannati, yang mensasarkan golongan kurang berkemampuan yang beragama Islam. – Malaysiagazette