Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani ketidakstabilan politik adalah disebabkan oleh majoriti dua kerusi Parlimen, kesihatan, ekonomi dan pendidikan hingga berlakunya krisis keyakinan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, negara seperti Vietnam telah pun mengatasi Malaysia daripada segi ekonomi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih besar untuk pertama kalinya.

Beliau mendakwa, untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan PN menangani krisis lima berganda, anggota kerajaan yang tidak dipilih terus membuat kenyataan politik atau mengambil tindakan yang memecahbelahkan rakyat atau menyakiti sentimen banyak rakyat Malaysia, terutama golongan wanita dan minoriti.

“Rakyat Malaysia mesti bersatu menentang puak assobiyah dan pelampau agama ini. Kita bersatu sebagai satu bangsa, tanah ini milik semua warganegara.

“Rakyat Malaysia tidak boleh berputus asa dalam usaha kita untuk membolehkan semua orang menikmati peluang yang sama dan anak-anak kita dapat menyerlahkan sepenuhnya potensi mereka.

“Kita harus memberi harapan kepada rakyat Malaysia, terutama golongan wanita dan minoriti, bahawa mereka akan diiktiraf atas pencapaian mereka di sini dan tidak hanya diraikan sebagai rakyat Malaysia apabila mereka berjaya di negara asing,” katanya menerusi perutusan tahun baru 2021 di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, 2020 adalah tahun pandemik global Covid-19 yang mencetuskan krisis lima berganda iaitu kesihatan, politik, ekonomi, pendidikan dan keyakinan di negara ini.

Sayangnya krisis lima berganda ini belum ditangani oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak dipilih dan seharusnya menjadi resolusi Tahun Baru bagi mana-mana kerajaan, katanya.

Tambah beliau, penutupan seluruh negara yang dilaksanakan setelah jangkitan Covid-19 meningkat beratus-ratus setiap hari awal tahun ini, sepatutnya dapat menghentikan penularan wabak itu daripada meningkat di negara ini.

“Malangnya, kerajaan gagal mengurus keadaan dengan 110, 485 jangkitan menjelang 30 Disember, iaitu lebih banyak daripada China.

“Jangkitan harian Covid-19 Malaysia kini merupakan yang kedua tertinggi di negara-negara ASEAN selepas Indonesia, dengan kita mencatatkan hampir 2,000 kes setiap hari.

“Terdapat kebimbangan nyata bahawa kemudahan kesihatan kita mungkin tidak dapat menangani jumlah jangkitan yang semakin meningkat, ujarnya.

Guan Eng berkata, lebih buruk lagi apabila kerajaan PN enggan membelanjakan RM2.1 bilion untuk melakukan pembelian awal vaksin Covid-19 yang mengakibatkan rakyat hanya akan menerimanya dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, berbanding dengan negara jiran Singapura yang menerima penghantaran sekarang.

Jelasnya, sifat kedekut dan lokek untuk menyediakan RM2.1 bilion adalah kesilapan yang lebih besar dan sangat tidak cekap berbanding penurunan penarafan kredit Malaysia oleh Fitch baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, krisis pendidikan juga mempunyai kesan jangka panjang yang buruk bagi generasi masa depan apabila pelajar yang hanya menghadiri kelas selama empat bulan sahaja pada tahun ini.

Katanya, ada keperluan mendesak untuk membelanjakan tambahan RM4 bilion bagi membeli komputer riba untuk setiap orang dan meningkatkan rangkaian internet bagi membolehkan pembelajaran atas talian. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mengaku warganegara apa tokong LGE..Dia yg buat kerosakan terutama melibatkan kaum melayu nak mengaku warganegara Malaysia.
    LFE baik balik china lagi bagus ..Lagi ada LGE serta suku sakat dia kat Malaysia hanya tau lingkup Malaysia.

Comments are closed.