Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha ketika sidang media mengenai pencapaian MBM sepanjang tahun 2020 di Wisma Belia Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 31 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Ketidakstabilan politik dibimbangi berisiko mengakibatkan kewujudan gerakan undi rosak khususnya dalam kalangan pengundi muda sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Juftri Joha berkata, mustahak untuk golongan anak muda menyedari betapa pentingnya tanggungjawab untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Penting untuk anak muda melibatkan untuk merubah apa yang mereka bimbangkan tentang politik dan ekonomi negara.

“Kita risau kerana keadaan semasa ini menyebabkan gerakan untuk undi rosak dan gerakan tidak turun mengundi itu tinggi kerana krisis keyakinan anak muda dan rakyat kepada sistem demokrasi yang ada sekarang,” katanya ketika sidang media di Wisma MBM hari ini.

Justeru sementara menunggu penguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021, MBM menggunakan tempoh enam bulan untuk bergerak memberi kesedaran terhadap pengundi muda.

Tambahnya, kesedaran dalam kalangan anak muda khususnya di kalangan yang berusia 18 tahun terhadap kepentingan menjadi pengundi perlu dipertingkatkan bagi menghadapi kebarangkalian PRU diadakan lebih awal.

“Kita jangkakan bahawa mengundi automotik 14.7 juta anak muda menjadi pengundi Julai 2021 tapi PRU kita jangkakan lebih awal, selepas Mac sebelum Julai kita jangkakan.

“Untuk sementara menunggu Julai PRU akan diadakan selepas Mac dan sebelum Julai maka kita gunakan tempoh enam bulan ini untuk kempen Undi 18 untuk kita memberikan kesedaran kepada generasi muda betapa penting untuk mereka mendaftar sekaligus membuat perubahan terhadap apa yang mereka resahkan iaitu ketidakstabilan politik dan ketidakstabilan ekonomi,” ujarnya.-MalaysiaGazette