KUALA LUMPUR – Sime Darby Plantation Berhad (SDP) sedang menyemak semula tindakan yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) untuk lebih memahami potensi kesannya.
Menurutnya, CBP tidak memberikan maklumat yang mencukupi untuk membolehkan SDB menangani secara serius tuduhan yang mencetuskan tindakan tersebut.
Syarikat perladangan itu berkata, CBP tidak memberikan maklumat yang mencukupi untuk membolehkannya menangani secara serius tuduhan yang mencetuskan tindakan tersebut.
“Walaupun begitu, kami berharap dapat menerima maklumat yang relevan dan bekerjasama dengan CBP, untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah ini dengan cepat,” kata SDP dalam kenyataan di sini.
Semalam, CBP mengenakan sekatan terhadap produk dari syarikat pengeluar minyak sawit SDP kerana bimbang mengenai isu buruh paksa.
Pengeluaran Withold Release Order (perintah sekatan) terhadap minyak sawit Sime Darby Plantation didasarkan pada maklumat yang secara munasabah menunjukkan kehadiran kesemua 11 petunjuk Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) tentang buruh paksa dalam proses pengeluaran SDP, kata CDP.
SDP dalam kenyataannya berkata, syarikat itu akan terus berinteraksi dengan Liberty Shared (LS) dan organisasi lain untuk mendapatkan maklumat mengenai aduan awal yang memungkinkannya untuk mengambil tindakan pembetulan yang sesuai.
”Sime Darby Plantation juga komited untuk memerangi buruh paksa dan menerapkan polisi melindungi hak pekerja. Usaha ini merangkumi pelantikan PricewaterhouseCoopers Consulting Associates pada 19 Oktober lalu untuk membantu kami dalam menambah baik komitmen secara berterusan.
“Kesalinghubungan dengan pelbagai pihak berkepentingan telah dilakukan sejak SDP menyedari petisyen yang dikemukakan oleh LS kepada CBP pada bulan Julai 2020 dan terus mengemas kini pihak berkepentingan mengenai semua tindakan yang diambil secara dalaman untuk mengatasi jurang dan perkara yang menjadi perhatian, seperti yang dikenal pasti oleh proses audit dalaman kami sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette