Malaysia telah membuat bayaran kos penangguhan pelaksanaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), kata Kementerian Pengangkutan republik itu.
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan membayar ganti rugi kepada kerajaan Singapura berikutan pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sepanjang 350 kilometer (km).

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT), perbincangan telah dilakukan dengan Malaysia menerusi sidang video bagi mengkaji status projek berkenaan pada 2 Disember lalu.

Katanya, antara intipati perbincangan itu melibatkan perubahan yang dicadangkan Malaysia terhadap projek berkenaan.

MOT mendedahkan, Malaysia telah bersetuju agar perjanjian projek tersebut terbatal dan perlu membayar ganti rugi kepada Singapura.

Kementerian berkenaan memaklumkan bahawa Malaysia perlu membayar pampasan kepada Singapura atas pembiayaan yang ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajiban berdasarkan perjanjian dua hala.

“Hubungan kami dengan Malaysia adalah mendalam dan pelbagai aspek, dan kami mengharapkan hubungan baik yang berterusan dan kerjasama erat dengan Malaysia untuk kepentingan bersama kedua-dua negara,” ujar kenyataan itu.

Sebelum ini, kedua-dua kerajaan mencapai persetujuan dua hala untuk menangguhkan projek pembinaan itu sehingga 31 Mei lepas sebelum merumuskan pendekatan terbaik bagi meneruskannya.

Berikutan itu, Malaysia menyemak semula projek tersebut bersama MyHSR Corp bagi mengenal pasti opsyen mengurangkan kos, mengoptimumkan jajaran, lokasi stesen dan model perniagaan.

MyHSR Corp Sdn Bhd mengumumkan konsortium Malaysian Resources Corp Bhd dan Gamuda Bhd sebagai rakan pengendali projek untuk bahagian utara, manakala Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd dan TH Properties Sdn Bhd diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan projek di bahagian selatan. 

Sebanyak lapan stesen dirancang – Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri – dengan menjadikan Stesen Jurong East di Singapura sebagai stesen terakhir. 

Operasi HSR KL-Singapura dijangka beroperasi sekitar 2026 dan mampu mengurangkan masa perjalanan kepada 90 minit, jauh lebih cepat berbanding perjalanan empat jam dengan menaiki kereta. – MalaysiaGazette 

Gagal capai persetujuan, projek HSR batal