Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Perikatan Nasional (PN) agar memperincikan jumlah pampasan yang terpaksa dibayar oleh kerajaan ekoran pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Perkara itu antara beberapa desakan yang diutarakan pihak pembangkang kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kerajaan harus menjelaskan dengan lebih terperinci jumlah sebenar yang terpaksa ditanggung kerajaan Malaysia dan para pembayar cukai akibat pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

“Justeru segala pernyataan yang dibuat Menteri Kewangan semasa penggulungan Belanjawan 2021 baru-baru ini sukar dipercayai terutamanya berhubung soal pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan juga projek mega HSR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia dan Singapura memutuskan projek HSR dibatalkan selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir semalam.

Dalam kenyataan bersama Muhyiddin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, kerajaan Malaysia sebelum ini telah mencadangkan beberapa pindaaan projek itu berikutan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Anwar turut berkata, moratorium pinjaman sewa beli kenderaan mendatangkan beban besar kepada masyarakat.

Lebih daripada itu, pelbagai syarat yang dikenakan juga terus merumitkan keadaan dan ini tidak membantu rakyat di bawah yang saat ini masih terhimpit dengan wabak Covid-19.

“Sebagai kerajaan yang kononnya peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat susah, adalah tidak wajar perkara sebegini dipandang enteng dan diambil mudah.

“Saya menggesa kerajaan dan Menteri Kewangan untuk membetulkan perkara ini sesegera mungkin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ketidakstabilan kerajaan PN hari ini memberi imej dan reputasi yang buruk kepada negara.

Anwar juga berkata situasi itu jelas menanam ketidakyakinan kepada negara-negara luar untuk mengadakan rundingan atau untuk mencapai sebarang persetujuan dengan Malaysia.

“Ia memberi petunjuk bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang tidak boleh digantung harap.

“Perkembangan ini memburukkan keadaan tatkala negara dan rakyat masih bergelut dengan situasi ekonomi pandemik saat ini,” soal Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi. – MalaysiaGazette