Dr. Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menyambut baik hasrat UMNO Bahagian Pagoh untuk meletakkan calon di kawasan itu sekali gus enggan memberikan laluan kepada penyandang kerusi berkenaan iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah Puad berkata, dia turut menyokong keputusan UMNO Pagoh meletakkan calon di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum akan datang.

“Ketetapan itu dibuat dalam persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pagoh semalam.

“UMNO Pagoh akan mengemukakan usul itu kepada Majlis Perwakilan Tertinggi (MKT). Tahniah UMNO Pagoh,” katanya dalam satu kenyataan dalam akaun Facebook hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU14), Muhyiddin memenangi kerusi Pagoh dengan 23,558 undi menentang Umno (16,631) dan Pas (2,483) undi.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak dapat memberi jaminan kerjasama parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh kekal, sekiranya usaha mencuri dan membeli ahli UMNO masih berlaku.

Asyraf ketika memberi peringatan itu berkata, beliau melihat suasana hubungan UMNO dengan Bersatu di peringkat akar umbi ketika ini semakin panas dan getir akibat perbuatan itu. MalaysiaGazette