Wijnaldum

LONDON – Georginio Wijnaldum diberi amaran oleh bekas bintang sayap Liverpool kerana sebarang keputusan untuk meninggalkan kelab itu di masa depan akan menjadi satu kekesalan terbesar dalam kariernya.

Ryan Babel yang juga rakan sepasukan Belanda menegaskan dia pernah sendiri melalui pengalaman pahit itu selepas membuat kesilapan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris itu pada 2011.

Babel mendakwa kesilapan itu telah memakan diri dan menggelapkan kariernya.

Amaran itu hadir selepas Wijnaldum dikaitkan dengan spekulasi bakal meninggalkan kelab itu dan tidak bersedia untuk melanjutkan kontraknya yang kini memasuki fasa enam bulan terakhir menjelang Jun ini.

Pemain berusia 30 tahun itu kini bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab yang ingin disertainya.

Ia sekaligus membuka peluang kepada kelab La Liga Sepanyol, Barcelona yang dikhabarkan kuat sebagai destinasi pilihan utama pemain itu.

Wijnaldum memainkan peranan penting dalam kebangkitan Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp dengan menjaringkan 20 gol dalam 209 penampilan.

Wijnaldum menuntut kontrak baharu dengan gaji lebih lumayan yang didakwa berhak menerima kenaikan setimpal sumbangan tingginya kepada kelab dalam merangkul beberapa kejuaraan peringkat domestik dan antarabangsa.

Babel, 34, memberitahu bahawa dia telah menghabiskan masa empat tahun di bawah kendalian Rafa Benitez dan Kenny Dalglish.

“Apabila saya meninggalkan Anfield untuk beraksi dalam Bundesliga Jerman di bawah kelab TSG Hoffenheim, itu saat paling aku kesal dalam karier.

“Satu-satunya sebab saya tinggalkan Anfield adalah saya mahu lebih banyak ruang dan masa beraksi dalam kesebelasan utama atas padang untuk menyelamatkan posisi saya dalam pasukan Belanda.

“Tetapi kamu tidak sedar akan dominasi gaya permainan di Liverpool berbanding kamu beraksi dengan pasukan dan liga lain.

“Saya dibesarkan dengan kaedah bola sepak taktik menyerang di Ajax namun apabila menyertai Liverpool, kaedah permainan sama didapati sudah berbenih dalam DNA kelab itu,” tegasnya.

Menurutnya dia telah menghayati setiap minit berada bersama Liverpool dan bernasib baik kerana menerima sokongan rakan senegaranya Dirk Kuyt.

“Bayangkan menjaringkan gol menentang Manchester United di Anfield adalah momen paling bermakna dalam karier saya,” jelasnya lagi.-MalaysiaGazette