Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah bermula 5 hingga 18 Januari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, pelaksanaan PKPD berkenaan dilaksanakan kerana kes positif Covid-19 meningkat.

Katanya, sehingga 31 Disember lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 207 saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 24 kes positif direkodkan.

“Sidang Khas hari ini mendengar pembentangan KKM mengenai peningkatan kes postif COVID-19 di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, Sidang Khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah bermula 5 Januari sehingga 18 Januari
2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan lapangan dijalankan selain menyekat penularan jangkitan virus tersebut di dalam komuniti setempat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di Pusat Koreksional Jasin dan Kuarters Kakitangan Kerajaan ditamatkan hari ini atas nasihat dan penilaian risiko KKM dan persetujuaan Kerajaan.

Ujarnya, sehingga kini, sebanyak 737 ujian saringan dilakukan dan secara kumulatif sebanyak 281 kes positif Covid-19 dikesan.

“KKM mengesahkan pelaporan harian kes aktif di pusat tahanan ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan.” kata Ismail Sabri. -MalaysiaGazette