UMNO

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang semalam, membuat ketetapan mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) diadakan sekurang-kurangnya dalam suku pertama tahun ini.

Sekiranya gagal, perwakilan bahagian itu mendesak semua Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk akhir Februari tahun lalu.

Ketetapan itu antara kandungan usul yang dikemukakan perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang dalam mesyuarat semalam, yang turut menjelaskan, cadangan PRU itu perlu diadakan segera supaya rakyat memilih kerajaan kuat dan kukuh untuk masa akan datang.

Usul itu juga mendesak pucuk pimpinan parti agar menolak sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut sumber yang rapat dengan kepimpinan UMNO Bahagian itu, parti itu dan Barisan Nasional (BN) berperanan besar menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan telah menyokong pembentukan kerajaan PN.

Namun, selepas beberapa bulan mentadbir, kerajaan PN telah menafikan hak dan suara UMNO serta BN dalam kerajaan ini.

Menurutnya, persoalan yang UMNO hadapi kini ialah hidup mati, masa depan dan survival parti.

Oleh itu, perwakilan UMNO Bahagian itu mahu pucuk pimpinan parti meletakkan calon bertanding tidak kurang daripada jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada PRU 14 dua tahun lalu.

“Di samping itu, mereka mencadangkan supaya UMNO Bahagian diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih dan menentukan calon PRU 15, tanpa campur tangan pimpinan peringkat pusat.

“Perwakilan ini juga mahu UMNO mengukuhkan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN), tetapi kerjasama itu perlu dikaji semula sekiranya Pas tidak mengutamakan hubungannya dengan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette