Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menjangkakan sebanyak 150 daripada 191 bahagian UMNO akan meluluskan usul supaya tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang.

Beliau justeru percaya UMNO tidak akan berjuang bersama Bersatu kerana ia merupakan suara akar umbi parti.

Beliau bagaimanapun berpendapat, bahagian-bahagian yang mempunyai menteri dan timbalan menteri atau menerima manfaat tertentu akan membuat keputusan yang lebih neutral dan menyokong kerjasama dengan Bersatu.

“Bahagian UMNO mewakili akar umbi dan suara mereka adalah suara “sakti.”

“Mereka tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dan Majlis Tertinggi tidak boleh menolak kehendak akar umbi,” katanya kepada Sinchew Daily.

Mohamed Nazri berkata, UMNO akan mempertahankan Muafakat Nasional dan bekerjasama dengan Pas dan keadaan itu tidak menjejaskan sokongan pengundi Melayu.

Menurut Ahli Parlimen Padang Rengas itu, selepas berunding dengan Pas, UMNO akan bertanding di 95 kerusi Parlimen berbanding 120 kerusi sebelum ini.

Tegasnya, kerusi yang ditandingi termasuk di kawasan yang pernah dimenangi UMNO tetapi wakil rakyatnya bertukar ke Bersatu.

“Mereka yang melompat parti telah mengkhianati UMNO.

“UMNO akan jadi seperti ‘memunasabahkan’ tindakan khianat mereka jika kami tidak meletakkan calon,” katanya.

Menurutnya, UMNO telah meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan pilihan raya seawal bulan Mac atau selewat-lewatnya bulan Jun tahun ini.

“Kami meminta pilihan raya diadakan seawal bulan Mac iaitu selepas perayaan Tahun Baharu Cina atau selewat-lewatnya bulan Jun iaitu selepas Aidilfitri,” katanya.

— MalaysiaGazette

1 Komen

  1. umno sekarang BUKAN yang ditubuhkan 1946…arwah2 DATUK NENEK MOYANG yang BENAR BERJUANG demi Agama Bangsa Negara…SELEPAS dHARAMKAN tindakan licik tun…um NO ini membarah dgn politik wang rasuah kroni salahguna kuasa memeras yg tidak sebulu dgnnya.pernah diPuncak TETAPI ALLAH telah tarik nikmat mereka kerana gelumang dengan DOSA2nya hingga kecundang PRU14.mencari TALIAN HAYAT SEMASA KELEMASAN..tetapi jadi Anjing yg tersepit MENGIGIT yg membantunya…perangai DULU KINI dan SELAMANYA terus menbarah sebagai pandemik.masih TIDAK INSAF lagi

Comments are closed.