Mohd Hazem Abdul Rahman former CEO 1MDB
Mohd Hazem Abdul Rahman

nilai RM2.3 bilion

 

KUALA LUMPUR – Perbicaraan penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersambung hari ini.

Saksi ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman akan menyambung memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Mohd Hazem, 47,  mula memberi keterangan pada 14 September tahun lalu.

Semalam setelah hampir empat bulan penangguhan kes berikutan pandemik Covid-19, Mohd Hazem kembali disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Semalam Mohd Hazem memberitahu pemegang saham sebenar 1MDB adalah kerajaan manakala semua pengurusannya adalah di bawah kuasa bekas Perdana Menteri ketika itu, Najib.

Saksi itu berkata, walaupun Ahli Lembaga Pengarah 1MDB mempunyai kuasa untuk membuat pertimbangan dan keputusan, namun semua urusannya akan ditentukan oleh Najib kerana beliau memegang kuasa veto.

Sebelum itu, pasukan pendakwaan memohon kepada mahkamah supaya boleh memberi amaran keras terhadap tertuduh berikutan serangan yang dilakukan terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Menurut Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan, Zeti merupakan salah seorang daripada saksi pendakwaan.

“Kita langsung tidak boleh terima tindakan tertuduh yang mendesak Zeti untuk menjawab. Kita sudah kemukakan saksi kepada pihak tertuduh pada 2019 dan hakikatnya tertuduh tahu saksi akan dipanggil bagi kes ini.

“Pendakwaan tidak mahu buat apa-apa permohonan contempt of court, sebaliknya mahu mahkamah memberi amaran keras kepada tertuduh supaya tidak melakukan serangan seperti ini.

“Kami langsung tidak boleh terima perkara ini,” kata Gopal Sri Ram.

Manakala Muhammad Shafee meminta tempoh sehari untuk meneliti dakwaan tersebut.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama. -MalaysiaGazette