MANCHESTER – Pasukan Manchester City mara ke peringkat akhir Piala Liga buat kali keempat berturut-turut selepas menundukkan Manchester United dengan kemenangan 2-0 di Old Trafford.

John Stones dan Fernandinho meledakkan gol buat pasukan Pep Guardiola yang akan berdepan dengan skuad kendalian Jose Mourinho, Tottenham pada perlawanan akhir di Wembley, 25 April depan.

Mourinho membimbing United ketika kali terakhir pasukan itu menjulang trofi pada 2017 dan Red Devils masih menanti untuk menjulang piala bersama Ole Gunnar Solskjaer selepas tewas empat separuh akhir sepanjang dua musim lalu.

Legenda City, Colin Bell yang meninggal pada usia 74 tahun di beri penghormatan sebelum perlawanan bermula.

Kedua-dua pasukan menurunkan pasukan terbaik yang menyaksikan pasukan hanya membuat dua pertukaran berbanding minggu lalu.

Bagaimanapun Guardiola tidak mempunyai banyak pilihan selepas kelab itu mengumumkan tiga lagi pemain positif Covid-19.

Namun Kyle Walker dan Gabriel Jesus kembali ke bangku simpanan selepas menamatkan 10 hari kuarantin.

Stones memecah kebuntuan lima minit selepas rehat dengan menampan sepakan percuma Phil Foden menggunakan pahanya untuk gol pertamanya dalam tiga tahun.

Fernandinho memastikan kemenangan City selepas United gagal mengeluarkan bola sepakan sudut, dan ia adalah gol pertamanya dalam tempoh dua tahun. – MalaysiaGazette