Lim Guan Eng

GEORGE TOWN – DAP tidak pernah membuat sebarang perbincangan untuk menjalin kerjasama dengan UMNO seperti didakwa Tan Sri Annuar Musa, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata, dakwaan Ahli Parlimen Ketereh itu kononnya ada kerjasama antara DAP dan pemimpin UMNO untuk membentuk pakatan baharu di peringkat kerajaan persekutuan sama sekali tidak benar dan tidak berasas.

“Perbincangan berhubung kerjasama politik seperti itu mesti turut melibatkan pemimpin-pemimpin parti termasuk Setiausaha Agung DAP iaitu saya tapi saya sebagai pemimpin dalam DAP tidak pernah melakukannya (perbincangan).

“Jangan heret DAP dalam isu ini…kami tiada kaitan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Annuar pada sidang media semalam selepas dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) mendakwa UMNO kini sedang bersiap untuk bekerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan baharu.

Memperkuatkan dakwaan itu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dilaporkan berkata ahli-ahli UMNO telah bertemu dengan pemimpin DAP untuk membincangkan perkara itu.  – MalaysiaGazette