Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dengan aliran keluar air melalui alur limpah Empangan Tasik Kenyir di Terengganu kerana ia adalah proses biasa bagi sesebuah empangan.

Pengarah Urusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Power Generation Sdn Bhd Datuk Nor Azman Mufti  berkata, apabila air empangan di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud di situ melepasi paras 145 meter, ia akan melimpah melalui alur limpah tidak berpintu.

Katanya, ia tiada kaitan dengan pembukaan pintu empangan kerana tiada pintu seumpamanya di empangan itu.

“Empangan itu mampu menampung air tasik umpama tangki takungan yang sangat besar dan berfungsi sebagai tebatan banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata air Empangan Tasik Kenyir yang keluar melalui alur limpah tidak berpintu itu bukanlah yang pertama kali berlaku tetapi ia adalah kali ke-11 sejak Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud beroperasi pada 1985.

Selain itu, Azman menjelaskan faktor utama yang menyumbangan kepada peningkatan paras air empangan adalah berikutan taburan hujan yang luar biasa tinggi iaitu berjumlah 400 milimeter (mm) sejak 12 jam lalu.

Kesemua empat unit janakuasa di stesen jana elektrik itu beroperasi pada kapasiti penuh 400 megawatt (MW) bagi memastikan paras air tasik dan integriti empangan dalam keadaan terkawal.

Tasik Kenyir yang berkeluasan 370 kilometer persegi (km²) itu mula dibina pada 1978 dengan kawasan tadahannya berkeluasan 1,260 km² merangkumi tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sementara itu, TNB dalam kenyataan berasingan, turut mengulangi nasihat dan panduan keselamatan elektrik semasa dan selepas banjir berikutan kejadian orang awam yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Paya Kechik di Temerloh, Pahang.

Antaranya, ketika banjir, mangsa banjir dilarang menggunakan sebarang peralatan elektrik, memastikan suis utama ditutup bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku serta mengelakkan daripada menyentuh peralatan atau kabel elektrik yang terendam di dalam air walaupun bersalut dengan penebat.

Selepas banjir, mangsa perlu memastikan suis utama di papan agihan ditutup sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian rumah, serta memastikan elektirk dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir diperiksa dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar sebelum digunakan semula. – MalaysiaGazette