Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam, bukan suatu yang mengejutkan.

Malah, ujar Presiden Parti Bumiputera Perkara Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali, perkara itu sudah dijangka dari awal lagi berdasarkan kemelut politik yang berlaku antara UMNO dengan Bersatu sebelum ini.

“Saya langsung tidak terkejut, malah semua pihak menjangkakan MKT UMNO akan membuat keputusan itu, selain mengarahkan Ahli Parlimennya yang mengetuai agensi dan GLC meletakkan jawatan.

“Ini susulan keputusan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang sepakat mahu pucuk pimpinan memutuskan hubungan dengan Bersatu dan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini, hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi, memutuskan parti itu menolak bekerjasama dengan Bersatu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Turut dibincangkan, kerjasama UMNO dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) harus dipertahankan dan usul gesaan PRU15 diadakan sebelum akhir suku pertama tahun ini tertakluk kepada status Covid-19 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat.

UMNO menerusi Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan dalam kenyataan berkata, semua usul yang akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO nanti menyentuh soal dasar dan pendekatan asas yang akan mempunyai kesan besar kepada masa depan parti dan negara.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, apa yang dilakukan UMNO itu merupakan keputusan di luar jangkaan semua pihak, sehingga ada yang mengecam kononnya cakap berdegar, tetapi tempayan kosong, penakut dan sayangkan jawatan.

Namun, katanya, UMNO tidak mengambil keputusan drastik yang dijangkakan oleh banyak pihak sehingga timbul persoalan, jika MKT membuat keputusan mengarah semua wakilnya dalam kerajaan meletakkan jawatan, namun tidak pasti apakah semua akan berbuat demikian.

“Pasti ada yang tidak akan letak jawatan, maka, UMNO akan berkecai, manakala jawatan yang kosong akan diisi Muhyiddin dengan melantik Ahli Parlimen UMNO yang belum ada jawatan.

“Atau melantik ahli UMNO sebagai Senator dan seterusnya lantik sebagai anggota Kabinet. Lagi huru hara UMNO.

“Begitu juga, jika kerajaan PN runtuh, apakah PRU15 akan diadakan? Apakah akan mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong untuk diadakan pilihan raya? Covid-19 masih merupakan ancaman dan baginda boleh mengisytiharkan darurat,” katanya.

Beliau berkata, sebenarnya untuk meruntuhkan kerajaan PN tidak memerlukan keputusan MKT UMNO, bahkan, Ahli Parlimen yang sokong Muhyiddin adalah atas kapasiti peribadi.

Kata beliau, jika beberapa Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan, maka jatuhlah kerajaan PN kerana semua tahu Muhyiddin hanya ada dua hingga tiga majoriti sahaja.

“Pada saya, ini bukan berita sensasi pun. Ianya berita dan peristiwa yang menambahkan lagi pening rakyat dan bercelaru, selain ekonomi terus merudum akibat Covid-19 dan dasar yang tidak berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette