Parti Tindakan Demokratik (DAP), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OGOS 2019

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng berteka-teki tentang hala tuju politiknya dengan tidak mengatakan “ya” atau “tidak” apabila ditanya sama ada akan meninggalkan DAP bagi menyertai MCA.

Ketika dihubungi Sinchew Daily, Cheok Keng berkata, spekulasi lompat parti tidak dimuktamadkan dan beliau memerlukan masa untuk menyediakan kenyataan media bagi melakukan penjelasan.

Ditanya mengenai satu laporan bahawa beliau sah memasuki MCA, wakil rakyat Perak itu berkata, percakapannya telah disalah tafsir.

“Saya berkata ‘tidak mengaku dan tidak menafi’ semasa menjawab persoalan daripada media, tetapi percakapan saya ditafsir sebagai mengaku memasuki MCA,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak berniat menyalahkan media itu dan enggan mengulas lanjut tentang hala tuju politik diri.

Kata Cheok Keng lagi, beliau perlukan masa untuk meneliti kandungan penjelasan selepas Lembaga Disiplin DAP menggesanya melakukan penjelasan berikutan spekulasi yang timbul.

Sebelum ini, Nanyang Siang Pau telah melaporkan bahawa Cheok Keng sah akan memasuki MCA.

Selain itu, terdapat juga spekulasi daripada MCA yang berkata bahawa sejumlah wakil rakyat DAP akan menyertai MCA.

Keadaan itu dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati ahli MCA yang tidak mengalu-alukan kemasukan wakil rakyat parti lawan.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon bagaimanapun berkata, partinya mengalu-alukan kemasukan sesiapa sahaja yang memegang prinsip perjuangan yang sama. – MalaysiaGazette