Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Seorang anggota polis maut selepas dilanggar sebuah motosikal semasa sedang mengejar seorang suspek kes pecah rumah di Padang Temusu dekat sini, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata Kpl Mahadir Elis, 38, dari Balai Polis Sungai Petani yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata sebelum kejadian, pada 3.45 pagi arwah bersama anggota lain telah bergerak ke Kampung Kepala Bukit dan Kampung Sungai Pasir dan berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan yang merupakan suspek kes pecah rumah, berusia antara 32 dan 50 tahun.

“Susulan penangkapan itu, arwah dan anggota (rakan setugas) membuat serbuan ke atas rumah seorang lagi suspek yang masih bebas di Padang Temusu.

“Suspek bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis dan arwah kemudiannya mengejar suspek ke arah jalan utama kira-kira 500 meter sebelum dilanggar oleh sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 sewaktu melintasi jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Arwah yang sudah 12 tahun berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertugas di daerah Kuala Muda sejak tiga tahun lepas, meninggalkan seorang isteri, Azlila Talib, 39, dan tiga orang anak berusia lima, lapan dan 17 tahun.

“Jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Rashid, Sungai Dua di Butterworth,” kata Adzli.

Sementara itu, mengulas mengenai penangkapan tiga suspek kes samun, Adzli berkata ketiga-tiga suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau berkaitan samun, dadah, curi kenderaan dan pecah rumah.

“Ujian saringan air kencing juga mengesahkan ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah rumah,” katanya.

— BERNAMA