Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam kluster baharu dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, sekali gus menjadikan keseluruhan kluster berjumlah 576 kluster setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat daripada enam kluster baharu ini melibatkan kluster tempat kerja di Lembah Klang, iaitu satu di Klang dua di Petaling Jaya serta satu lagi di Lembah Pantai.

“Antara empat kluster baharu tempat kerja itu ialah Kluster Jalan Klinik di Klang, Kluster Tapak Bina Hevea di Petaling Jaya, Kluster Bukit Belimbing di Petaling dan Klang serta Kluster Kapital di Lembah Pantai.

“Dua lagi kluster baharu ialah Kluster Kauran melibatkan daerah Keningau di Sabah dan Kluster Setapak Indah melibatkan daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, bagi Kluster Jalan Klinik, Klang, kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 8 Januari 2021 melalui saringan bersasar di sebuah kilang.

“Sehingga 8 Januari 2021, sejumlah 448 individu telah disaring, di mana 132 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi Kluster Tapak Bina Hevea di Petaling Jaya pula, kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 28 Disember 2020 melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

“Sehingga 8 Januari 2021, sejumlah 650 individu telah disaring, di mana 30 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Sementara itu, kes positif Covid-19 dalam Kluster Bukit Belimbing di Klang dan Petaling Jaya pula dilaporkan bermula pada 2 Disember 2020 melalui saringan bersasar di sebuah syarikat.

“Sehingga 8 Januari 2021, sejumlah 912 individu telah disaring, di mana 33 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi Kluster Kapital yang terletak di Lembah Pantai pula, kes indeks (iaitu kes ke-126879) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 8 Januari 2021, sejumlah 165 individu telah disaring, di mana 72 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dua lagi kluster baharu yang dikenal pasti kes indeks (iaitu kes ke-108646) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 30 Disember 2020 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 8 Januari 2021, sejumlah 423 individu telah disaring, di mana 55 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Manakala satu lagi kluster baharu di Titiwangsa pula telah mengesan satu kes indeks (iaitu kes ke-126802) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Januari 2021 hasil saringan kendiri.

“Sehingga 8 Januari 2021, sejumlah 43 individu telah disaring, di mana 16 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette