Seseorang memerlukan sel imun atau antibodi yang spesifik kerana walaupun tubuh mereka mempunyai sel-sel imum untuk melawan penyakit dan kuman tetapi tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk melawan jangkitan kuman yang berbahaya seperti polio dan difteria.- Gambar hiasan.

NAMA pakar perubatan berasal dari Berkeley, Britain terkenal di seantero dunia iaitu Edward Jenner yang merupakan seorang anak yatim piatu didakwa telah menjadi pengasas konsep vaksinasi dengan secara inovatif menggunakan virus cacar lembu (cowpox) sebagai vaksin perlindungan tehadap penyakit cacar (smallpox) pada tahun 1796.

Namun, sekiranya ditelusuri menerusi jurnal-jurnal perubatan antarabangsa, kaedah imunisasi dikatakan telah diperkenalkan oleh kerajaan Turki Uthmaniyyah yang menjadi katalis terhadap peningkatan tahap kesedaran kepentingan amalan itu merebak sehingga ke Britain.

Bukti sejarah jelas terbukti merekodkan penyakit cacar yang telah mengorbankan jiwa kira-kira setengah juta warga Eropah setiap tahun pada abad ke-18 namun pada abad yang sama dunia Islam sebahagian besarnya selamat dan aman daripada ancaman penyakit cacar itu kerananya amalan vaksinasi yang telah dilaksanakan secara sempurna dan menyeluruh.

Hakikatnya, pada 1718, Lady Matry Wortley Montagu yang merupakan isteri kepada Duta Besar British ke Turki iaitu Edward Wortley Montagu telah membenarkan anaknya yang semasa itu berusia empat tahun diberikan suntikan vaksin cacar di Instanbul.

Realitinya, beliau dua tahun sebelum itu telah menderita penyakit cacar dan penyakit itu juga telah mengorbankan abang yang beliau sayangi. Situasi itu menyebabkan Wortley menyebarkan kesedaran amalan vaksinasi di seluruh Britain.

Sebenarnya, badan yang sihat dan cergas bermula menerusi sistem imunisasi yang terbaik iaitu melalui suntikan vaksin yang berperanan mencegah pelbagai penyakit berjangkit.

Pakar Pediatrik Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Nur Baizura Razali berkata, vaksin mengandungi bahan aktif yang dinamakan antigen yang diperoleh daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan.

Dr Nur Baizura Razali

“Fungsi utama vaksin ialah merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imunisasi) tubuh bagi mengelak jangkitan penyakit khusus yang mampu menyebabkan kecacatan dan kematian.

“Selain itu, peranan immunisasi dapat mengelak berlakunya wabak penyakit berjangkit herd immunity (imuniti kelompok), membasmi penyakit seperti polio, neonatal tetanus dan difteria.
“Kebanyakan penyakit berjangkit tidak mempunyai rawatan khusus dan boleh mengakibatkan kesan sampingan, komplikasi yang teruk sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Imuniti berkelompok menurut takrifan Pusat Rujukan Persuratan Melayu@PRPM yang boleh diakses melalui laman web http://prpm.dbp.gov.my/ bermaksud kerentanan sesuatu kelompok kerana kebanyakan individu dalam kelompok tersebut rentan kepada serangan dan penyebaran sesuatu agen jangkitan.

Kita sebagai rakyat negara ini amat bertuah kerana Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) yang telah diperkenalkan pada awal 1950-an telah dirangka berdasarkan Program Perkembangan untuk Imunisasi (EPI) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

EPI mengalakkan semua negara memberi imunisasi kepada enam penyakit kanak-kanak namun NIP telah menambah perlindungan untuk 12 penyakit iaitu difteria, Haemophilus influenza jenis B (HiB), Hepatitis B, Human papillomavirus (HPV), Japanese Encephalitis (JE), demam campak, beguk, batuk kokol, polio, rubella, tetanus (kancing gigi) dan tuberkulosis (TB).

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi laporan media pada 17 November 2020 lalu dipetik sebagai berkata, Kementerian Kesihatan melakukan pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak melibatkan semua klinik kesihatan di bawah kementerian itu di seluruh negara.

Katanya, pertukaran jenis vaksin iaitu vaksin kombinasi lima serangkai ditukar kepada vaksin kombinasi enam serangkai menerusi Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak.

Noor Hisham memberitahu, vaksin enam serangkai diberikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenzae type b dan Hepatitis B.

Merujuk kepada kepentingan imunisasi terhadap bayi atau kanak-kanak, Nur Baizura dengan nada tegas berkata, kedua-dua golongan itu merupakan golongan yang mudah dijangkiti penyakit.

“Pemberian vaksin secara umumnya membantu menguatkan sistem imun tubuh seseorang dengan rangsangan sel pertahanan yang berperanan membantu mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa.

“Realitinya, pemberian vaksin melalui beberapa fasa dan mestilah mengikut jadual yang ditetapkan kerana kesan maksimum lazimnya akan bermula selepas dos terakhir vaksin.

“Bayi sebenarnya mempunyai daya tahan terhadap jangkitan yang lemah berbanding orang dewasa yang bermakna golongan bayi berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang serius sekiranya mendapat jangkitan kuman. Pemberian vaksin meningkatkan imunisasi mereka,” kata Nur Baizura.

Beliau menambah walaupun perlindungan vaksin bukan bersifat 100 peratus kerana reaksi badan yang berbeza bagi setiap manusia namun lebih baik berbanding tiada perlindungan (vaksin) langsung.

“Sekurang-kurangnya mereka yang mengambil vaksin mendapat perlindungan yang membantu mengelakkan komplikasi serius sekiranya mendapat jangkitan,” katanya.

INFO IMUNISASI

-Bukan bersifat 100 peratus kerana reaksi badan seseorang berbeza-beza kerana pemberian vaksin namun membantu memberikan perlindungan daripada komplikasi serius sekiranya mendapat jangkitan.

-Seseorang memerlukan sel imun atau antibodi yang spesifik kerana walaupun tubuh mereka mempunyai sel-sel imum untuk melawan penyakit dan kuman tetapi tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk melawan jangkitan kuman yang berbahaya seperti polio dan difteria.

-Bagi mendapatkan sel imun yang spesifik bagi kuman tertentu secara semulajadi memerlukan seseorang harus dijangkiti kuman itu terlebih dahulu dan menjalani proses penyembuhan namun proses ini membawa risiko komplikasi serius atau kematian terutama pada kanak-kanak jadi pemberian vaksin dapat menimbulkan imuniti yang setara dengan proses jangkitan dan penyembuhan tanpa perlu mengambil risiko yang ditimbulkan oleh penyakit tersebut.

-Tempoh vaksin bertahan ialah pelbagai iaitu seumur hidup atau selama 30 tahun. Selepas tempoh berkenaan, badan perlu diberikan perlindungan semula untuk mendapat daya tahan bagi melawan sesetengah jangkitan dan virus.

-Menurut pengamal perubatan professional, pemberian vaksin kepada kanak-kanak adalah selamat dan tidak membebankan sistem imun golongan itu.

-Kesan sampingan ringan vaksin kebiasaannya demam, sakit dan kemerah-merahan di tempat yang disuntik namun simptom itu akan hilang atau dapat dirawat dalam tempoh yang singkat tanpa memberikan kesan berpanjangan.

-Kesan serius amat jarang sekali iaitu pada ratio satu dalam sejuta seperti reaksi alahan terhadap vaksin tertentu yang menyebabkan kesukaran bernafas atau badan membengkak.

-Namun sekiranya kanak-kanak tidak diberikan vaksin risiko mendapat komplikasi serius atau kematian akibat penyakit cegahan vaksin adalah jauh lebih besar iaitu satu dalam seribu.

INFO PENYAKIT

Difteria

Penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria yang berada di dalam mulut dan tekak orang yang dijangkiti.

Haemophilus influenza jenis B (HiB)

Jangkitan serius yang menjangkiti kebanyakan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Hepatitis B

Jangkitan hati disebabkan oleh virus Hepatitis B.

Human papillomavirus (HPV)

Jangkitan paling lazim yang disebarkan menerusi hubungan seks (STI) dan boleh menyebabkan kanser serviks, iaitu kanser ketiga paling lazim di kalangan wanita.

Japanese Encephalitis (JE)

Jangkitan otak yang disebabkan oleh virus JE.

Demam campak

Penyakit virus yang sangat mudah berjangkit.

Beguk

Jangkitan virus yang merupakan penyebab paling lazim keradangan otak (ensefalitis).

Batuk kokol

Paling mudah berjangkit dengan batuk teruk dan berterusan yang mungkin menyebabkan seorang kanak-kanak sukar untuk bernafas dan bertukar menjadi biru (cyanosed).

Polio

Penyakit virus yang berjangkit dan tidak boleh disembuhkan serta menyerang sistem saraf.

Rubella

Turut dikenali sebagai demam campak Jerman yang berpotensi menyebabkan janin tidak normal.

Kancing gigi

Toksin bakteria yang menyerang sistem saraf tubuh badan.
Tuberkulosis (TB). Penyakit yang biasanya menjangkiti paru-paru namun berpotensi menyerang bahagian-bahagian lain seperti buah pinggang, tulang belakang, kulit, usus dan otak.- MalaysiaGazette

Artikel sumbangan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis, MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM