Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid (dua kiri) ketika menyerahkan replika cek kepada Pesuruhjaya TInggi Pakistan di Malaysia, Amna Boluch (dua kanan) pada Majlis Penyerahan Replika Cek Bantuan Selimut Untuk Musim Sejuk Kashmir oleh MAPIM di Kedutaan Pakistan, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 08 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama beberapa NGO lain berkerjasama menyumbang 1,000 selimut kepada pelarian di Kashmir.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, usaha itu dibantu oleh Pergerakan Pemuda Malaysia untuk Kashmir, Wanita Malaysia untuk Kashmir dan Pertubuhan Peduli Insan.

“Kami telah bergabung mengusahakan program ini bagi mengumpul dana sebanyak RM50,000 bagi membeli 1,000 selimut untuk dihantar ke Kashmir,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Majlis Penyerahan Replika Cek kepada penduduk Kashmir kepada Kedutaan Pakistan hari ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Replika Cek Bantuan Selimut Untuk Musim Sejuk Kashmir oleh MAPIM di Kedutaan Pakistan, Kuala Lumpur. Foto AFIQ HAMBALI, 08 JANUARI 2021.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, Amna Baloch telah menerima replika cek itu.

Turut hadir Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Pertahanan Al-Aqsa, Datuk Ahmad Awang dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai.

Menurut Mohd Azmi, bantuan itu dijangka tiba selewat-lewatnya minggu depan.

Usaha itu dilakukan bertujuan merapatkan hubungan Malaysia dan Kashmir selain menyampaikan mesej penderitaan yang sedang dihadapi oleh keluarga pelarian Kahsmir adalah sangat berat.

Ujar Azmi, rakyat Kashmir juga telah ditindas dan dizalimi oleh negara India di mana mereka telah dikepung supaya tidak dibenarkan keluar.

“Tambahan lagi, kita telah dikejutkan dengan pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia. Maka hal ini turut menambah kesukaran rakyat Kashmir ketika musim sejuk yang sedang dihadapi oleh mereka sekarang.

“Mereka sangat memerlukan bantuan, oleh itu kami telah menguruskan hal ini sebagai usaha yang utama.

“Sebelum ini kami telah menyumbang sebuah ambulans, dimana sudahpun berada di Kashmir,” katanya.

Selain itu, Amna juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua persatuan NGO yang terlibat dalam membantu rakyat di Kashmir.

“Saya berharap kita dapat mengekalkan hubungan Malaysia dan Pakistan untuk masa hadapan,” katanya.

Pihak Pesuruhanjaya Pakistan Malaysia telah diberikan kepercayaan untuk menguruskan penghantaran wang dan selimut tersebut yang dijangka diedar selewatnya pada minggu depan.

Dalam pada itu Azmi berkata, pihaknya akan ke Kashmir awal bulan April ini selama seminggu untuk majlis penyerahan ambulans dan perasmian Pusat Kebudayaan Malaysia di sana.- MalaysiaGazette