Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan langkah terbaharu kerajaan dalam menangani Covid-19 di Malaysia pada Isnin ini.

Perkara itu dinyatakan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui sidang media mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebentar tadi.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil maklum terhadap kebimbangan yang dirasai oleh orang ramai berikutan kenaikan mendadak kes positif Covid-19  yang diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan semalam.

“Saya tidak boleh mendedahkan banyak tentang perkara ini, kita tunggulah apa yang akan dikatakan oleh Perdana Menteri Isnin nanti,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau menyedari terdapat banyak maklumat yang disampaikan melalui laman sosial kononnya akan ada satu tindakan yang lebih ketat diambil oleh kerajaan dalam masa terdekat dalam mengawal penularan wabak tersebut.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan sama ada perkara yang ditularkan itu benar sebaliknya, hanya memaklumkan bahawa semua itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri.

Terdahulu sejak semalam, tular poster menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat perutusan khas yang sepatutnya berlangsung pukul 4 petang hari ini.

Tidak diketahui perutusan khas yang hendak dibuat itu namun, rata-rata netizen mengaitkan ia dengan Pelaksanaan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibeberapa buah negeri.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan melalui sumber terdekat di Pejabat Perdana Menteri dengan yang mengatakan ia adalah mesej palsu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nak umum, umumlah cepat2 skit, anak2 kat universiti nak periksa minggu depan dan terpaksa ulang alik kekampus sebab nakkan line internet yang laju skit!

    Kat area rumah ni, walaupun bayar mahal, kepantasan gerakan line internetnya kadang2 macam SIPUT BABI!

Comments are closed.