Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismail Mohamed Kamal bercakap pada sidang media berhubung perkembangan terkini mengenai Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di Dorsett Hartamas Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum dapat mendedahkan jumlah pampasan pembatalan projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) kerana Singapura belum menyerahkan butiran tuntutan kepada Malaysia.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn Bhd, Datuk Mohd Nur Ismal Kamal menjangkakan ianya akan selesai dalam beberapa minggu lagi.

Kata beliau, sebaik menerima butiran tuntutan yang dikemukakan oleh Singapura, pihaknya akan meneliti nilai itu terlebih dahulu sebelum sebarang rundingan atau keputusan dibuat.

“Saya terpanggil dan agak prihatin dengan tuduhan-tuduhan kononnya kurang ketelusan melibatkan Malaysia tetapi perkara sebenar adalah ianya belum dapat didedahkan kerana jumlah pampasan masih belum dimuktamadkan..

“Singapura perlu mengemukakan butiran terperinci perbelanjaan mereka sebelum menuntut  apa-apa pampasan,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi MyHSR, Tan Sri Ar TPr Esa Mohamed.

Baru-baru ini dalam sidang Parlimen Singapura, Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung mendedahkan pampasan penamatan kepada Singapura HSR akan merangkumi kos yang telah dibelanjakan untuk projek, tetapi bukan kos pembelian tanah berikutan nilai tanah itu boleh diperoleh semula.

Beliau berkata, Singapura telah membelanjakan lebih S$270 juta ke atas projek tersebut.

“Sebahagian daripada kos ini, seperti kos perkhidmatan rundingan, reka bentuk infrastruktur dan tenaga kerja untuk melaksanakan projek ini, adalah kos yang boleh dituntut jika projek tersebut tidak diteruskan,” kata Menteri Singapura itu.

Ong  berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh Singapura setakat ini untuk projek tersebut.

Pada 1 Januari, Perdana Menteri Malaysia dan Singapura mengeluarkan kenyataan bersama mengenai penamatan Perjanjian Dua Hala HSR.

Berdasarkan Perjanjian Dua Hala dan syarat-syarat yang telah dipersetujui sebelum ini, Malaysia berkata, ia akan memenuhi kewajipannya di bawah perjanjian tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Nur Ismal berpendapat, kerajaan tidak perlu menerbitkan bon membayar pampasan kerana jumlahnya mungkin tidak sampai ke tahap kerajaan perlu berbuat demikian.

Sebelum ini juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mendedahkan, terma Perjanjian Dua Hala yang telah ditandatangani pada tahun 2016 membabitkan HSR tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19. -MalaysiaGazette