Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap laporan media baru-baru ini berhubung tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai parti politik.

Ini kerana, kebebasan berpersatuan adalah kebebasan asas yang dijamin kepada setiap rakyat di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan dan hak yang sama dinikmati di bawah Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Sehubungan itu, Suhakam berpandangan terdapat keperluan untuk mengkaji semula Akta Pertubuhan 1966 kerana ia mengandungi peruntukan-peruntukan yang boleh dianggap tidak selaras dengan prinsip hak asasi manusia terutamanya hak berpersatuan.

Akta Pertubuhan 1966 merupakan akta yang digubal untuk mentadbir urus perkara berkaitan dengan pendaftaran pertubuhan.

Menurut akta ini, hal ehwal berkaitan pendaftaran pertubuhan adalah di bawah bidang kuasa RoS.

Sebelum ini, Suhakam telah mengesyorkan agar pembaharuan dibuat ke atas Akta Pertubuhan.

Antaranya termasuk pelaksanaan kuasa secara wajar oleh RoS untuk tujuan akta tersebut, kajian semula terhadap budi bicara mutlak menteri untuk mengisytiharkan suatu pertubuhan itu sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang, peruntukan tempoh masa yang tertentu untuk RoS membuat keputusan terhadap suatu permohonan pendaftaran dan makluman kepada pemohon berhubung keputusan tersebut dan kewajipan RoS untuk memberikan alasan bagi penolakan atau tidak memberi maklum balas terhadap permohonan pendaftaran pertubuhan.

Selain daripada syor-syor yang dinyatakan di atas, Suhakam mencadangkan agar pendaftaran pertubuhan termasuk parti politik ditadbir urus oleh entiti bebas dan bukan jabatan kerajaan.

Ini akan turut menjamin kesaksamaan dan sifat berkecuali dalam tadbir urus hal ehwal berkaitan pendaftaran pertubuhan.

Selaras dengan Perlembagaan Persekutan dan semangat demokrasi, Suhakam menyeru agar kerajaan mengkaji semula Akta Pertubuhan 1966 dan Suhakam sentiasa bersedia untuk membantu kerajaan dalam perkara ini.

Buat masa ini, Suhakam berharap agar RoS menjalankan fungsi dan tugasnya berdasarkan pendekatan yang adil dan selaras dengan hak asasi manusia. – MalaysiaGazette