Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang (dua kanan) bersama penduduk membersih sungai pada Majlis Penyerahan Kertas Cadangan Pelan Induk Denai Sungai Air Hitam di Kampung Dato Abu Bakar Baginda, Kajang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 JANUARI 2021.

KAJANG – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mahu supaya kawasan-kawasan rizab sungai di negara ini dibangunkan sebagai kawasan rekreasi dan taman-taman awam.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Zaini Ujang berkata, langkah itu adalah bagi mendidik masyarakat agar menyayangi sungai sebagai sumber alam yang perlu dijaga.

Dengan cara itu ia secara tidak langsung dapat menyedarkan masyarakat tentang pentingnya penjagaan sungai yang menjadi nadi dalam kehidupan, katanya.

“Umum mengetahui bahawa terdapat rizab sungai yang menjadi yang menjadi pusat penempatan haram, tempat pembuangan sampah serta dipenuhi dengan semak samun. Keadaan ini merupakan salah satu faktor menggalakkan berlakunya pencemaran di Malaysia.

“Bagi mengatasi masalah ini, kawasan-kawasan rizab sungai ini dicadangkan untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi dan taman-taman awam,” katanya ketika ditemui selepas meninjau denai Sungai Air Hitam di Kamoung Datuk Abu Bakar Baginda  hari ini.

Zaini berkata, pembinaan trek joging, denai dan taman di kawasan rizab sungai itu juga secara tidak langsung  menggalakkan penglibatan orang ramai, komuniti setempat, badan-badan korporat dan pertubuhan badan bukan kerajaan daripada segi pengawasan, pemeliharaan dan pengindahan sungai di seluruh negara.

Ujarnya, KASA turut menyasarkan pembinaan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sepanjang 1,000 kilometer pada tahun 2023 mulai 2020 dan 10,000 kilometer menjelang tahun 2030.

Pembinaan DSK adalah merupakan strategi tindakan pencegahan pencemaran melalui pendekatan kawalan di punca penyelesaian secara berasaskan alam semula jadi, katanya.

Tambah beliau, KASA dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri akan mengenalpasti kawasan-kawasan rizab sungai untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi melalui pembinaan denai dan aktiviti pengindahan sungai.

“Dengan adanya denai di tepi sungai, ia akan menggalakkan aktiviti seperti berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat.

“Kehadiran orang ramai di kawasan tersebut akan menghalang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa,” jelasnya.

Di samping itu, DSK itu juga berpotensi untuk menyumbang kepada eko-pelancongan setempat, ujarnya.

Terdahulu, Zaini menyertai gotong royong bersama penduduk kampung tersebut membersihkan denai sungai.

Program kemudiannya disusuli dengan majlis penyerahan kertas cadangan Pelan Induk Denai Sungai Air Hitam, Kampung Datuk Abu Bakar Baginda yang dibuat penduduk kampung kepada pihak KASA. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.