Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menahan 572 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam operasi pematuhan, setakat semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 571 individu telah dikompaun manakala seorang lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (173), aktiviti pusat hiburan (157), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (115), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (115) dan lain-lain (12).

“Tangkapan dibuat sepanjang Task Force Operasi Pematuhan dalam 41,801 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang tekong serta tiga kenderaan dirampas oleh anggota keselamatan dalam Operasi Bentang, setakat semalam.

“Kesemua yang ditahan hasil daripada lapan tangkapan dalam Operasi Benteng, melibatkan 110 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette