Sebanyak 3,701 kes sembuh Covid-19 telah dilaporkan di dalam negara dalam masa 24 jam  lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,232 kes positif baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 138,224 kes.

Sebanyak 1,006 kes sembuh dicatatkan dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak tersebut berjumlah 28,554 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hanya enam sahaja kes import direkodkan manakala selebihnya penularan dalam negara.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 1,769 kes adalah warganegara Malaysia (79.5 peratus) dan 457 kes adalah bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Selangor masih mencatatkan kes harian tertinggi dengan 557 kes diikuti Johor (396 kes) dan Sabah (374 kes).

Menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak 194 kes (8.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Choh (157 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (20 kes), Kluster Tembok Gajah (12 kes), dan Kluster Pagar Siput (5 kes).

Tambah beliau, sebanyak 187 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 87 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Jelas, empat kematian direkodkan hari ini dan Kementerian Kesihatan mengesan lapan kluster baharu. – MalaysiaGazette