Helikopter TUDM melaksanakan misi penghantaran makanan kepada mangsa banjir di Ulu Tembeling, Jerantut Pahang semalam. Foto: ihsan TUDM

KUALA LUMPUR  – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengaturgerakkan dua buah helikopter bagi melaksanakan penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas ke kawasan pedalaman Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.

Penghantaran bekalan makanan itu termasuk ke perkampungan orang asli yang terputus hubungan akibat banjir semalam.

Menurut TUDM, helikopter jenis EC 725 AP dari No. 10 Skuadron telah melaksanakan penugasan Op Murni bermula jam 11 pagi.

“Misi berkenaan selesai sepenuhya pada jam 6 petang melibatkan penghantaran ke lima kawasan yang terjejas iaitu SK Kg Bantal, SK Kg Kuala Sat, Padang Awam Mat Daling, Padang Tapak Kilang Kampung Pagi dan Kg Gusai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah TUDM, operasi yang diketuai oleh Pegawai Memerintah No. 10 Skuadron, Lt Kol Muhammad Fazri Md Zin melaksanakan penghantaran bekalan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seberat 5 tan yang diambil di tempat pengumpulan barang bantuan di Padang Bola FA Jerantut.

Menurutnya, seramai 16 orang anak kapal terlibat dalam misi yang melibatkan 6 sortie penghantaran.

“Walaupun berhadapan dengan cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu tetapi ianya tidak menjadi penghalang kepada TUDM dalam meneruskan tanggungjawab dalam menjaga kebajikan kepada rakyat yang terjejas disebabkan bencana alam yang berlaku ini,”.

Anak-anak kapal pesawat yang terlibat dan menjayakan misi bencana terlibat adalah, Komander Pesawat Mejar Muhammad Uwais Md Zain, Mejar Mohamad Khairil Saaban, Kapten Khairul Ridhuan Ramlee dan Mejar Mohd Farid Mahamad Subrun.

Pembantu Juruterbang pula terdiri daripada Kapten Azfar Adzahar, Kapten Rozaini Abdul Mutalib, Kapten Muhammad Hafiz Zamsaimi dan Kapten Thaddaeus Raphael anak Azis@Sait.

Turut menjayakan misi berkenaan empat anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU) iaitu Koperal U Nicholas Anak Lampu, Koperal U Mohd Untong Abd Manaf, Koperal U Amerrulizam bin Arzemi dan Koperal U Mohd Shaffiee Piting.

Pihak lain yang turut terlibat dalam mis penghantaran makanan kepada mangsa banjir adalah Tentera Darat Malaysia (TDM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – MalaysiaGazette